DBKL digesa jelaskan kos RM30.75 juta ganti tiang lampu 


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menjelaskan mengapa ia membayar RM30.75 juta bagi menggantikan 200 unit tiang lampu pintar di Lembah Klang, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini.

Jumlah itu bersamaan RM153,750 bagi satu unit tiang lampu, katanya.

Kontrak itu adalah untuk kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan operasi bagi 200 unit tiang lampu.

“Orang ramai tertanya-tanya adakah kontrak bernilai RM30.75 juta itu hanya untuk membina 200 tiang lampu? Adakah ini bermakna pembinaan sebatang tiang lampu perlu menelan belanja RM153,750?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya juga akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan mendapatkan penjelasan daripada DBKL sama ada kontrak itu diberikan melalui tender terbuka atau tidak.

“Kenapa kontrak itu perlu diberikan melalui Ennova Sdn Bhd dan bukannya terus daripada DBKL atau kerajaan?”

Beliau menambah kerajaan tidak boleh mengabaikan ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak bernilai tinggi.

Baru-baru ini SCIB Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Sarawak Consolidated Industries Bhd, mendedahkan ia memperoleh kontrak RM30 juta daripada Ennova Sdn Bhd.

Jurucakap itu berkata SCIB Properties akan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian 200 tiang lampu pintar bersepadu.

Syarikat itu akan menggantikan 200 tiang lampu pintar di Lembah Klang. Projek ini akan bermula pada Jun dan siap pada 2023. – 11 Jun, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen