DBKL perluas laluan kontra atasi kesesakan trafik, kata timbalan menteri


Laluan kontra di Jalan Cheras sepanjang 4km dipanjangkan kepada 8km iaitu sehingga ke Jalan Maharajalela. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2022.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperbanyakkan pelaksanaan laluan kontra di beberapa jalan utama di ibu negara pada waktu puncak dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata antara jalan yang dikenal pasti adalah Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, Jalan Cheras, Jalan Istana serta kawasan Bulatan Pahang.

“Kita akan lihat lebih terperinci berkenaan pelaksanaan laluan kontra di Lebuhraya Seremban-KL bagi membantu penyuraian trafik masuk dan keluar dari pusat bandar ketika waktu puncak.

“Laluan kontra sedia ada di Jalan Cheras sepanjang 4km dipanjangkan kepada 8km iaitu sehingga ke Jalan Maharajalela,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu antara penyelesaian jangka sederhana yang diputuskan dalam jawatankuasa khas bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Jalaluddin berkata, DBKL juga mengenal pasti 13 lokasi jalan utama titik panas (hotspot) kesesakan di ibu negara antaranya Jalan Kuching, Jalan Yew, Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.

Beliau turut mengumumkan penambahan lorong di Jalan Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) berhampiran kawasan Bandar Tasik Selatan berkuat kuasa serta-merta sebagai kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Sekarang terdapat dua lorong susulan, terdapat kerja pembinaan yang sedang berjalan, jadi kami putuskan untuk menjadikan ia tiga lorong secara kekal sekali gus menaik taraf keadaan jalan di ibu kota,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut memaklumkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengeluarkan 61,777 notis pelbagai kesalahan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. – Bernama, 25 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen