Kebun-Kebun Bangsar dibenar beroperasi semula, kata DBKL


Noel Achariam

DBKL hari ini berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah memaklumkan kepada jawatankuasa kerja tanah KL yang pihaknya telah meluluskan lesen sementara kepada Kebun-Kebun Bangsar pada 28 Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2022.

JAWATANKUASA Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah meluluskan Lesen Pendudukan Sementara kepada Kebun-Kebun Bangsar (KKB) selepas ia diancam tutup sebelum ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) telah memaklumkan kepada jawatankuasa tersebut yang pihaknya telah meluluskan lesen tersebut pada 28 Jun lalu untuk tujuan tapak semaian dan perkebunan.

Ladang urban itu terletak di tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara Jalan Cenderai dan Lorong Bukit Pantai 4, Taman Bukit Pantai.

DBKL juga berkata mesyuarat jawatankuasa pusat setempatnya bersetuju untuk KKB diselaraskan sebagai rakan kongsi LA21KL.

Perkara itu dipersetujui hari ini pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengarah eksekutif perancangan DBKL, pihak KKB, pemegang taruh, wakil persatuan penduduk, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pejabat tanah.

“Berdasarkan perjumpaan tersebut, pihak KKB telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dikeluarkan oleh DBKL iaitu kebun tersebut kini diselaraskan di bawah program LA21KL sebagai kebun kejiranan bandar LA21KL.

“Aktiviti–aktiviti di kebun tersebut akan dipantau oleh DBKL dan agensi–agensi berkaitan dari semasa ke semasa.”

LA21 ialah proses sukarela perundingan komuniti setempat dengan tujuan untuk mewujudkan dasar dan program tempatan yang berfungsi ke arah mencapai pembangunan mampan.

Bulan lepas, pejabat tanah telah mengambil tindakan terhadap KKB dengan memberi mereka notis pengusiran kerana melanggar syarat Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk nurseri.

Pengarah PTG Muhammad Yasir Yahya berkata syarat itu termasuk pelanggaran terhadap jenis tanaman dan fakta bahawa struktur kekal dibina di bawah tiang elektrik, berdasarkan maklum balas teknikal daripada TNB.

Tambah DBKL, KKB yang beroperasi sejak Oktober 2016 merupakan contoh yang baik untuk aktiviti berkebun menggunakan tanah rizab TNB malah ia wajar dicontohi jika dilaksanakan mengikut peraturan dan syarat ditetapkan.

“Pelbagai aktiviti telah dijalankan sehingga menjadi kebun contoh yang berjaya serta dilawati oleh pelbagai delegasi dalam dan luar negara.

“Kebun ini juga telah mendapat pelbagai sokongan dari media dan orang awam kerana menjalankan aktiviti pendidikan pertanian kepada pelawat yang datang ke kebun tersebut kerana kepelbagaian jenis tanaman dan herba.

“Kebun ini juga telah menerima pelbagai geran dari Khazanah Nasional dan ThinkCity atas inisiatif “placemaking” yang baik.” – 14 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen