Kaji semula perancangan bandar bagi tangani banjir, kata ahli Parlimen KL


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Kuala Lumpur dilanda banjir kilat pada 7 Mac, 25 April dan 25 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

AHLI Parlimen menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat semula sistem perancangan bandarnya bagi mengelak banjir kilat berulang di ibu negara.

Mereka berkata, pihak berkuasa perlu meneliti moratorium ke atas kawasan panas pembangunan di sekitar ibu negara yang boleh menjadi punca banjir.

Ahli Parlimen juga mempersoalkan kenapa Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim masih belum membabitkan diri dalam isu banjir kilat di bandar raya itu.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, adalah penting moratorium pembangunan di kawasan kerap banjir dipertimbangkan dengan serius.

“Setakat ini perkara ini tidak diendahkan. Juga tidak ada mesyuarat yang dipanggil oleh menteri wilayah untuk memberi taklimat kepada ahli Parlimen mengenai tindakan yang diambil.

“Sebagai menteri beliau harus memulakan taklimat dan mesyuarat dan tidak menunggu hingga kami memanggil.”

Selepas banjir terburuk di Malaysia pada Disember di Lembah Klang, Kuala Lumpur kembali dilanda banjir kilat pada 7 Mac, 25 April dan 25 Mei.

Beberapa jalan raya di bandar raya ditutup berikutan banjir kilat, yang turut mengakibatkan beberapa kenderaan ditenggelami air banjir dan kerosakan harta benda.

Pakar memberitahu The Malaysian Insight kemusnahan alam sekitar dan pembangunan berlebihan adalah faktor utama banjir kilat berulang di Kuala Lumpur.

Bulan lalu, Yeoh berkata sejak banjir pada Disember, ahli Parlimen mendesak pihak berkuasa untuk memelihara semua kolam tadahan di Kuala Lumpur dan melaksanakan langkah segera.

Ini katanya, bagi melindungi penduduk daripada berulangnya banjir kilat.

Bagi langkah pencegahan banjir baharu, beliau berkata ia termasuk penyelenggaraan sungai, pemasangan siren dalam pelbagai bahasa dan pemberitahuan melalui SMS Majlis Keselamatan Negara.

Hannah Yeoh berkata, amat penting moratorium pembangunan di kawasan kerap banjir dipertimbangkan dengan serius. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

“Bagaimanapun empat bulan kemudian, semua cadangan ini seperti tidak diendahkan dan lambat diambil tindakan,” tulisnya di Facebook.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, tidak ada sebarang sistem perancangan bandar yang sistematik dan betul.

“Jika ada sebidang tanah, mereka (pemaju) boleh membina sesuka hati kerana boleh mendapat kelulusan pembangunan daripada DBKL.

“Kami melihat ini berlaku dalam dekad yang lalu dengan beberapa pemaju yang popular.

“Penyelesaian isu banjir yang berulang adalah DBKL perlu menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani pembangunan terutama perparitan sebelum mereka meluluskan projek.”

Beliau menambah, DBKL tidak bertindak sebaik mungkin untuk menangani masalah itu.

“Dalam tempoh 14 tahun sebagai ahli Parlimen KL, saya melihat ramai Datuk Bandar dan Menteri Wilayah datang dan pergi. Jadi, saya tidak fikir mereka boleh laksanakan reformasi yang kita mahu, kerana tempoh mereka terlalu singkat.

“Penyelesaiannya ialah mempunyai Datuk Bandar yang dipilih sekurang-kurangnya empat tahun, supaya beliau dapat menunaikan tugasnya. Pada masa ini, tempoh jawatan Datuk Bandar dua tahun. Jadi, sebelum perkara ini selesai, mereka sudah bersara.”

Beliau juga berkata, penting bagi Menteri Wilayah terbabit dengan ahli Parlimen.

“Dalam tempoh empat tahun ini kami hanya berjumpa dengan menteri wilayah sekali sahaja berhubung isu banjir dan itu tahun lalu.

“Kami mahu menteri kerap berjumpa dengan ahli Parlimen untuk membincangkan isu di Kuala Lumpur.”

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata, banjir menyusahkan penduduk tempatan dan mereka yang datang ke ibu negara.

Beliau berkata, lebih banyak usaha perlu dijalankan dalam pembersihan saliran di semua kawasan terutama di tempat pelancongan.

Pembangunan berlebihan menjadi antara punca Kuala Lumpur dilanda banjir kilat yang berulang.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2022.

“Mereka harus memberi tumpuan untuk memastikan longkang tidak tersumbat dan isu lain mereka perlu melihat kesesakan lalu lintas yang disebabkan oleh banjir.”

Fong juga bersetuju salah satu punca banjir kilat mungkin disebabkan terlalu banyak pembangunan di bandar raya.

“Perancangan bandar harus dilakukan dengan baik, bukan sahaja untuk penduduk tetapi kawasan komersial juga.”

Beliau juga berkata, sebarang langkah sementara yang dicadangkan untuk menangani banjir perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

“Bukan hanya semua bercakap, tapi tindakan mesti diambil. Perlu ada orang yang bertanggungjawab untuk memastikan mereka (projek interim) dijalankan.”

Beliau juga berkata, Datuk Bandar dan Menteri Wilayah harus bertemu semua ahli Parlimen.

“Memandangkan kita semua berada di lapangan, kita boleh memberi cadangan mengenai isu ini.

“Pegawai DBKL mesti turun padang lebih kerap untuk melihat apa yang berlaku.”

Awal bulan ini, Mahadi berkata, DBKL akan melaksanakan 14 langkah sementara dengan kos kira-kira RM10 juta di bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 mulai bulan ini bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

Mahadi berkata, insentif tambahan itu sedang dijalankan sebagai langkah segera sebelum penyelesaian jangka panjang, yang kini sedang disemak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan dijangka siap April depan, dapat dilaksanakan.

Mahadi berkata, mereka akan memberi tumpuan kepada kerja pemantauan dan pembersihan bagi memastikan saluran keluar air di tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang, sambil menambah ia akan dilaksanakan oleh pasukan penyampaian perkhidmatan awam yang diselia oleh DBKL. – 29 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen