Pemandu kurang punca tambang e-hailing naik, kata persatuan


Noel Achariam

Persatuan Pemandu Grab Malaysia anggar ketika ini ada kira-kira 50,000 hingga 60,000 pemandu aktif berbanding 70,000 hingga 80,000 sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

PERMINTAAN penumpang yang tinggi, trafik sesak dan kekurangan pemandu mendorong tambang e-hailing meningkat, kata Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA).

Presiden GDMA Arif Asyraf Ali berkata tambang tidak dikawal kerana struktur tambang yang dinamik dan sistem pasaran terbuka.

“Jadi, pada asasnya apabila permintaan lebih dan penawaran rendah maka tambang akan meningkat malah kadang-kadang melebihi tiga kali ganda tambang biasa.

“Faktor utama lain adalah kekurangan pemandu. Dengan ekonomi kembali pulih secara perlahan-lahan, ramai pemandu beralih untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik selepas kelonggaran sekatan atau kembali ke kerjaya asal mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Arif menganggarkan kekurangan pemandu hampir 30%.

“Kadar pemandu aktif dahulu kira-kira 70,000 hingga 80,000. Kini kami mempunyai kira-kira 50,000 hingga 60,000 pemandu aktif.

“Sebelum pandemik, kami mempunyai kira-kira 120,000 pemandu termasuk secara sambilan dan sepenuh masa.”

Bilangan pemandu baharu hanya sekitar 100 setiap bulan, jelasnya.

Penumpang merungut mengenai tambang semasa e-hailing, menyatakan lonjakan harga meningkat sehingga 400% dalam beberapa kes pada waktu puncak.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan seorang pemandu Grab berkata, firma e-hailing menaikkan tambang pada waktu puncak untuk menarik lebih ramai pemandu bekerja dalam tempoh itu.

Sementara itu, Grab Malaysia berkata, ia tidak membuat sebarang perubahan pada struktur tambangnya kerana mereka menggunakan “model harga dinamik”. Ini untuk memastikan penumpang mendapat perkhidmatan dan pemandu juga menerima pampasan yang adil bagi usaha dan masa.

“Apabila lebih ramai orang menempah perjalanan berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan, tambang akan ‘meningkat’ atau naik untuk menggalakkan lebih ramai pemandu menuju ke tempat penumpang berada.

“Turun naik harga yang dilihat pengguna kami adalah hasil daripada kurang pemandu di jalan raya untuk menerima peningkatan mendadak dalam permintaan perjalanan daripada penumpang kami,” kata Grab dalam satu kenyataan.

Grab berkata, sehingga pertengahan Mei, bilangan pemandu di platformnya masih kurang daripada 70% berbanding sebelum pandemik.

Arif Asyraf Ali berkata sebelum pandemik, mereka mempunyai kira-kira 120,000 pemandu termasuk secara sambilan dan sepenuh masa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

Pemandu kata tidak berbaloi

Arif menjelaskan Grab mempunyai ramai pemandu sebelum ini kerana pendapatannya baik dengan insentif lebih baik.

Tambang lebih tinggi pada waktu puncak bukanlah insentif yang menarik.

“Kesesakan lalu lintas terlalu teruk, walaupun pada sebelah petang dan ia semakin teruk setiap hari.”

Sesetengah pemandu akan mematikan aplikasi itu pada waktu puncak walaupun tambang lebih mahal, katanya.

“Sebagai contoh, perjalanan biasa adalah RM20 dan RM40 pada waktu puncak. Walaupun lebih tinggi, anda boleh terperangkap dalam kesesakan trafik selama lebih sejam.

“Trafik yang sesak mendorong mereka untuk tidak memandu. Kita boleh lihat kira-kira 30% hingga 40% melakukan ini.

“Oleh kerana pemandu kurang, pemandu yang aktif perlu memandu lebih jauh untuk mengambil penumpang, menggunakan lebih banyak minyak dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.”

Pemandu juga mendapati kos penyelenggaraan kereta meningkat sebagai satu lagi alasan tidak kekal dalam sektor e-hailing.

“Bagaimana untuk menyelenggara kereta dengan komisen rendah dan penyelenggaraan yang tinggi.

“Jadi walaupun tambangnya tinggi, pemandu tidak berpuas hati dengan komisen mereka. Ini antara perkara yang melemahkan semangat mereka.

“Kami sudah meminta kerajaan untuk mengawal tambang sejak 2017,” kata Arif.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata baru-baru ini kerajaan tidak mengawal selia harga asas bagi perjalanan e-hailing, manakala surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda tambang asas. – 6 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen