Kawal tambang e-hailing, kata persatuan pengguna


Noel Achariam

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata kenaikan harga Grab baru-baru ini sangat membebankan kerana sesetengah orang tidak ada pilihan selain guna juga perkhidmatan e-hailing kerana ia lebih praktikal berbanding bas atau mod pengangkutan awam lain. – Gambar EPA, 27 Mei, 2022.

KEMENTERIAN Pengangkutan perlu segera mengambil tindakan mengawal harga tambang e-hailing yang melampau tinggi sehingga membebankan pengguna, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata perkara ini boleh dibuat melalui penetapan harga siling yang munasabah buat penumpang dan juga pemandu e-hailing.

“Kenaikan harga Grab baru-baru ini yang dialami pengguna sangat mengecewakan dan membebankan kerana sesetengah orang tidak ada pilihan selain guna juga perkhidmatan e-hailing.

“Membingungkan apabila Menteri Pengangkutan (Wee Ka Siong) menyatakan tambang e-hailing akan kekal tidak dikawal,” kata Mohideen dalam satu kenyataan.

Wee semalam berkata lesen operasi syarikat pengendali e-hailing (EHO) boleh ditarik balik atau digantung jika mereka melanggar surcaj melebihi 200% daripada tambang asas iaitu antara 70 hingga 90 sen satu kilometer

Beliau berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat telah diarahkan menyiasat perkara itu kerana surcaj tersebut diputuskan pada 2019 yang menjadi undang-undang yang dipersetujui.

“Dari segi tambang asas untuk EHO mengenakan 70 sen hingga 90 sen satu kilometer. Mereka juga diberi kelonggaran mengenakan surcaj yang ada peraturan, melihat kepada permintaan dan penentuan harga dinamik,” katanya.

Mohideen berkata bagi yang tiada pengangkutan sendiri, perkhidmatan e-hailing sudah menjadi satu keperluan.

“Sudah tentu ada pengangkutan awam lain yang lebih murah, tetapi ia tidak berapa praktikal untuk orang ramai,” katanya.

“Ambil bas sebagai contoh, kosnya lebih murah berbanding menaiki dengan perkhidmatan e-hailing.

“Bagaimanapun, kelemahannya termasuk masa menunggu yang lama antara bas, kekurangan perhentian bas dalam jarak yang munasabah dari tempat seseorang menunggu dan tempat mereka ingin diturunkan, kekangan masa dan keadaan kesihatan atau fizikal tertentu.”

Tambahnya, kenaikan harga ekoran sistem lonjakan harga yang dilaksanakan Grab tidak masuk akal kerana pemandu juga kurang ketika ini.

“Caj yang terlalu tinggi itu tidak menarik lebih ramai pemandu dan tidak juga membantu meringankan beban pemandu yang mungkin terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Ia hanya menyusahkan pengguna.

“Kepada pihak berkuasa yang mendakwa Grab bukan monopoli kerana terdapat 21 syarikat e-hailing lain yang beroperasi, kami akan minta anda cuma guna perkhidmatan e-hailing selama seminggu dan maklumkan kepada kami jika anda boleh dapat konsisten guna syarikat lain selain Grab.

“Atau, adakah anda terpaksa buka aplikasi Grab selepas berulang kali tekan butang “tempah sekarang” selama lebih 30 minit dalam aplikasi e-hailing yang lain.”

Mohideen juga berkata perkhidmatan e-hailing dibenarkan menaikkan harga tidak lebih daripada 200% tambang asas perjalanan dan pihak berkuasa telah menyatakan mereka perlu “bukti kukuh” untuk ambil tindakan.

“Pastinya isu kenaikan harga tambang Grab sebanyak 400% yang tersebar dalam berita adalah bukti yang cukup kukuh.

“Kami juga telah menerima aduan daripada seorang wanita warga emas yang mengatakan perjalanannya yang biasanya berharga RM9 kini berharga RM22 dan ini ketika luar waktu puncak.”

Beliau berkata, menurut artikel berita, Wee sendiri telah menunjukkan surcaj maksimum yang dibenarkan sebanyak 200% adalah tidak munasabah.

“Kami bersetuju dengan sepenuh hati surcaj yang dibenarkan sebanyak 200% adalah terlalu banyak.” – 27 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen