Lesen e-hailing boleh ditarik balik jika langgar surcaj, kata menteri


Perkhidmatan penghantaran makanan semakin popular di negara ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan diperkenalkan dua tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2022.

LESEN operasi syarikat pengendali e-hailing (EHO) boleh ditarik balik atau digantung jika mereka melanggar surcaj melebihi 200% daripada tambang asas iaitu antara 70 hingga 90 sen satu kilometer, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan menyiasat perkara itu kerana surcaj tersebut diputuskan pada 2019 yang menjadi undang-undang yang dipersetujui.

“Dari segi tambang asas untuk EHO mengenakan 70 sen hingga 90 sen satu kilometer. Mereka juga diberi kelonggaran mengenakan surcaj yang ada peraturan, melihat kepada permintaan dan penentuan harga dinamik,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan penambahbaikan oleh Prasarana Malaysia Bhd untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan LRT di Putrajaya hari ini.

Wee juga mengingatkan EHO tidak terus mendesak kerajaan dengan pelbagai permintaan dan alasan atau Kementerian Pengangkutan (MOT) terpaksa mengambil tindakan mengawal selia industri itu.

“Jangan paksa saya, satu hari nanti saya terpaksa mengawal selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sehingga kami terpaksa ganggu ekonomi gig, sebab itu saya kata kita kena buat secara harmoni,” katanya.

Mengenai alasan tambang mahal kerana permintaan mendadak susulan pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak cukup pemandu, Wee berkata alasan itu tidak masuk akal.

Selain itu, beliau menyifatkan dakwaan EHO bahawa MOT tidak membantu industri e-hailing sebagai amat mengecewakan kerana kerajaan memberi kemudahan kepada mereka untuk mencari pekerja.

Namun katanya, mereka meminta keistimewaan supaya Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailing dimansuhkan.

“Kepada mereka yang mahu berkecimpung menjadi pemandu e-hailing mereka perlu mendapatkan PSV… ia dasar yang jelas,” katanya.

Wee juga berkata, EHO tidak boleh menyalahkan MOT sekiranya mereka tidak boleh mencari pemandu kerana mereka diberi kelonggaran untuk kursus PSV yang dikendalikan di syarikat masing-masing.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mengalami tambang e-hailing empat kali ganda tinggi supaya tampil membuat laporan rasmi dan MOT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika laporan itu didapati betul.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 28 syarikat e-hailing yang beroperasi di Lembah Klang termasuk yang berkapasiti kecil selain perkhidmatan teksi.

Katanya, ini membolehkan pengguna membuat pilihan menggunakan perkhidmatan yang lebih murah sekiranya tambang ditawarkan tidak munasabah.

Selain itu Wee turut menegaskan MOT tidak memihak kepada EHO, ketika diminta mengulas kenyataan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai perkara itu. – Bernama, 25 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen