Pekerja sambilan tidak tertakluk gaji minimum, kata Putrajaya


Chan Kok Leong

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata pekerja gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing cuma bekerja sendiri atau sambilan sahaja oleh itu tidak ditakrifkan sebagai pekerja untuk tujuan gaji minimum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2021.

GAJI minimum dalam undang-undang Malaysia tidak terpakai pada penghantar makanan, pemandu perkhidmatan tumpang kereta dan semua pekerjaan sambilan dalam ekonomi sementara atau gig economy kerana mereka bukan pekerja tetap, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

“Gaji minimum terpakai pada semua pekerja sektor swasta mengikut takrifan Akta Pekerjaan 1965, serta Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

“Mengikut undang-undang ini, seorang pekerja ditakrifkan sebagai seseorang yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan majikan. Oleh itu, gaji minimum terpakai pada mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

“Pekerja gig bagaimanapun bekerja sendiri dan bekerja sambilan dan kerana itu tidak ditakrifkan sebagai pekerja bagi tujuan gaji minimum,” tambahnya.

Awang yang juga ahli Parlimen Pendang menjelaskan pekerja sambilan mempunyai kebebasan dan tidak terikat seperti pekerja tetap.

Walaupun tiada gaji minimum, mereka boleh dilindungi di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sekiranya mencarum, katanya.

Awang menjawab soalan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memperluaskan manfaat gaji minimum kepada pekerja sambilan.

Timbalan menteri berkata kerajaan sedar akan keputusan mahkamah di United Kingdom baru-baru ini yang menerima pemandu perkhidmatan tumpang kereta atau e-hailing sebagai pekerja tetap dalam isu gaji minimum, dalam kes Uber lawan Aslam.

Bagaimanapun Malaysia belum berbuat demikian, katanya.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang mensyaratkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja sambilan, Awang berkata KWSP bukan bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Kerajaan bagaimanapun menyumbang Perkeso untuk pekerja gig yang memilih untuk mencari,” katanya.

Ahli Parlimen Syed Saddiq Abdul Rahman (Bebas-Muar) kemudian bertanya kenapa kerajaan memberi subsidi kepada majikan ekonomi sementara.

“Kenapa kita tidak minta majikan yang bayar dan bukannya disubsidi?”

Awang menjawab pandemik Covid-19 menjejaskan perniagaan dan kerajaan mahu memastikan mereka tidak memberhentikan lebih banyak pekerja.

“Pulangan yang tinggi juga bermakna cukai yang tinggi untuk kerajaan,” katanya. – 8 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen