Ekonomi gig atasi gaji minimum, kata kumpulan pemandu


Noel Achariam

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia Arif Asyraf Ali berkata pekerjaan gaji minimum RM1,500 tidak cukup menarik untuk pemandu e-hailing meninggalkan kerja mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2022.

GAJI minimum RM1,500 yang dicadangkan oleh kerajaan tidak cukup menarik minat pemandu e-hailing meninggalkan pekerjaan gig mereka, kata Persatuan Pemandu Grab Malaysia (MGDA).

Mereka mempunyai fleksibiliti masa yang lebih baik, tiada waktu kerja tetap dan lebih banyak gaji jika mereka bersedia untuk bekerja keras.

Presiden MGDA Arif Asyraf Ali berkata mereka yang bertahun-tahun memandu sudah biasa bekerja mengikut masa sendiri.

“Sebagai contoh sasaran pemandu adalah untuk memperoleh RM100 hingga RM200 setiap hari dan jika mereka rajin boleh memperoleh dua kali ganda gaji minimum.

“Perkara lain ialah fleksibiliti. Tiada waktu kerja tetap. Jadi jika pemandu rajin mereka boleh mendapat lebih,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Secara purata pemandu Grab sambilan boleh memperoleh antara RM2,000 dan RM3,000 serta pemandu sepenuh masa boleh memperoleh sehingga RM4,000 atau lebih, kata Arif.

“Jadi saya tidak percaya mereka (pemandu) akan meninggalkan pekerjaan mereka untuk mencari pekerjaan gaji minimum,” katanya.

Arif berkata MGDA kini mempunyai kira-kira 500 ahli di seluruh negara.

Pada 19 Mac Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 sekarang kepada RM1,500 dan langkah itu akan dilaksanakan untuk syarikat tertentu terlebih dahulu mulai 1 Mei.

Beliau berkata gaji minimum baharu itu pada mulanya akan dikenakan kepada firma besar dan syarikat berkaitan kerajaan sahaja.

Ketika ini gaji minimum di 57 bandar dan pekan di seluruh negara ditetapkan pada RM1,200 sebulan dan RM1,100 untuk kawasan luar bandar.

Gaji minimum disemak kali terakhir pada 1 Februari 2020 apabila dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,200 semasa pembentangan Bajet 2020.

Arif berkata mereka yang memilih bidang pekerjaan dengan gaji minimum memang mempunyai faedah seperti caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan cuti bergaji.

“Jika pekerja itu sakit cuti mereka berbayar dan bagi mereka yang bekerja sendiri, jika mereka bekerja mereka dapat gaji, jika tidak maka tidak ada apa-apa.

“Tetapi mereka yang bekerja dengan gaji minimum hanya mendapat RM1,500 untuk lapan jam bekerja dan selepas potongan mereka mungkin akan mendapat RM1,300.

“Itulah perbezaan antara pemandu dan pekerjaan gaji minimum,” katanya.

Arif berkata pemandu menikmati fleksibiliti kerana mereka juga menjalankan perniagaan sampingan selain Grab.

“Kita dapat lihat golongan belia kini memasuki ekonomi gig. Walaupun mereka memandu ada juga yang menjalankan perniagaan dalam talian, makanan dan kerja sambilan lain secara sampingan.

“Walaupun gaji minimum dinaikkan kebanyakan pemandu lebih suka fleksibiliti. Tetapi mereka mungkin menarik diri jika ada gaji yang lebih baik daripada apa yang mereka peroleh sekarang.

“Mereka juga merasakan bahawa jika mereka pergi kerja pejabat mereka perlu bekerja setiap hari. Secara keseluruhan kurang fleksibiliti.

Ketika peralihan ke fasa endemik Arif menjangkakan jumlah penumpang akan meningkat apabila lebih ramai orang mengembara.

“Sekarang lebih ramai yang pergi dan pulang dari pejabat, ke LRT dan stesen MRT. Sekarang lebih banyak kerja berbanding tahun lepas.

“Pemandu yang tidak mahu mengambil penumpang juga boleh memilih penghantaran makanan Grab atau Grab Express (penghantaran barangan),” katanya.

Beliau berkata sejak Januari pendapatan pemandu e-hailing meningkat lebih 10%.

“Kita baru sahaja memulakan peralihan ke arah fasa endemik dan kami percaya suku kedua akan menjadi lebih baik,” katanya.

Putrajaya berkata negara akan memulakan peralihan kepada fasa endemik pada 1 April. Seiring dengan itu sempadan antarabangsa dibuka semula kepada pelancong, meningkatkan harapan untuk pemulihan ekonomi yang lebih cepat. – 9 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen