Pemandu teksi, Grab buat kerja lain untuk bertahan


Noel Achariam

Perjuangan untuk meneruskan kelangsungan hidup makin sukar buat pemandu e-hailing dan teksi kerana pelanggan berkurang secara drastik akibat pandemik Covid-19, dan juga kerana sekatan pergerakan yang tidak berpenghujung ini. Untuk mendapat rezeki RM100 sehari sahaja sangat susah berbanding sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.

PEMANDU Grab dan teksi terpaksa mencari ikhtiar lain untuk bertahan dan menjaga makan minum keluarga memandangkan pandemik Covid-19 terus menerus menjahanamkan negara.

Sejak awal tahun ini, dengan sekatan pergerakan berterusan, para pemandu meluahkan pendapatan mereka merosot drastik, malah ada yang pendapatannya jatuh sehingga 80%.

Ini telah menyebabkan tekanan besar pada sumber pendapatan utama mereka, mendorong untuk mendapatkan kerja sampingan.

Pemandu Grab, Azlina Shukri, 40 berkata sukar untuk memperoleh cukup pendapatan sejak beberapa bulan ini tambahan dengan sekatan pergerakan berterusan.

“Sekarang ini, untuk dapat RM100, perlu kerja 12 jam sehari, berbanding sebelum pandemik kami boleh dapat sekitar RM500 dalam tempoh lapan jam bekerja.

“Sebelum ini ada banyak perjalanan, tetapi sekarang tidak ada pelancong dan orang ramai lebih berhati-hati untuk keluar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ibu tunggal dengan tiga anak berusia 16, 13 dan 10 tahun itu berkata, dia juga perlu jaga kesihatannya sendiri.

“Sangat letih untuk terus sentiasa di jalan raya di dalam kereta selama berjam-jam hanya untuk dapat RM100.

“Tolak RM30 untuk petrol, saya cuma tinggal RM70. Pendapatan saya turun sekitar 80%.”

Katanya, semasa sekatan pergerakan, dia hanya berhenti untuk solat dan makan.

“Kadang-kadang bila hari tak berapa bagus, saya cuma dapat RM30.”

Azlina berkata, dengan keadaan sekarang, dia tidak boleh bergantung sepenuhnya pada Grab untuk bertahan, oleh itu kini dia telah menggunakan platform penghantaran lain.

“Itulah sebabnya saya guna aplikasi lain yang buat penghantaran seperti LalaMove, Mr Speedy dan lain-lain.

“Namun, walaupun dengan semua aplikasi ini, tak banyak perniagaan. Saya mula pukul 8.30 pagi dan kadang-kadang, saya kena tunggu sampai sejam sebelum dapat mula kerja.

“Kadang-kadang saya dapat RM30 atau lebih sedikit. Ini agak mencabar sebab ramai orang buat benda sama.”

Azlina, yang menetap di Sungai Besi, berkata dia perlu bekerja berjam-jam supaya dapat bayar sewa, barang makanan dan bil utiliti.

“Bantuan RM500 yang kerajaan bagi, adalah bantu sedikit. Tapi, semuanya habis digunakan untuk barang makanan.”

Para pemandu teksi dan Grab berkata bantuan Pemerkasa Tambahan yang diberikan kerajaan tidak mencukupi buat mereka untuk bertahan ketika pandemik ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2021.

Seorang lagi pemandu Grab, Azril Ahmat, 36, berkata pengambilannya telah turun sebanyak 80% sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua.

“Untuk dapat RM150 dalam 12 jam pun sangat susah. Untuk penuhi keperluan, saya buat kerja sebagai penghantar untuk JPJ dan Puspakom.

“Kadang-kadang saya keluar rumah pukul 4 pagi sampai 7 malam. Kadang-kadang saya dapat cuma dapat RM50 sehari.”

Azril, yang menetap di Kepong, berkata dengan sekatan pergerakan terkini ini dan walaupun banyak sektor masih dibuka, tidak banyak pengambilan kerana orang hampir tidak keluar.

“Kebanyakan orang beli belah dalam talian. Oleh itu, susah untuk kembali ke zaman sebelum pandemik.

“Sekarang, untuk lapan jam bekerja, saya dapat sekitar RM80. Tapi, itu tidak konsisten.”

Azril, yang mempunyai anak berusia setahun, berkata dia turut buat perkhidmatan penghantaran dengan syarikat lain untuk dapatkan pendapatan tambahan.

“Komitmen bulanan saya adalah untuk sewa, barang makanan, susu bayi, lampin, bil utiliti dan insurans.

“Pendapatan saya cukup untuk tampung perbelanjaan asas dan tidak lebih dari itu.”

Katanya, bantuan Pemerkasa berjumlah RM500 sangat membantu, tetapi tidak bertahan lama.

“Sebahagian bantuan itu saya guna untuk beli barang makanan dan selebihnya saya simpan untuk kecemasan tetapi semuanya sudah habis sekarang.”

Bulan lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan di bawah Pemerkasa Tambahan, sekitar 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing bersama 40,000 pemandu teksi akan mendapat bantuan tunai sebanyak RM500.

PKP penuh seluruh negara bermula pada 1 Jun dan sepatutnya berlangsung hingga 14 Jun, tetapi kini telah dilanjutkan.

Muhyiddin berkata, PKP penuh - yang kini dinamakan sebagai Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara - akan berterusan sehingga nilai ambang kes Covid-19 baharu yang dilaporkan setiap hari menurun kepada kurang dari 4,000 kes, 10% penduduk telah divaksinasi dan hospital tidak terlalu kritikal.

Pada 1 Julai, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur akan diletakkan di bawah PKP Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 3 hingga 16 Julai.

Ini bermaksud semua laluan di kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh polis. – 6 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen