Mavcom siasat aduan pelanggan terhadap syarikat penerbangan 


Mavcom menerima banyak aduan mengenai penjadualan semula penerbangan sepanjang tempoh perayaan Hari Raya baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan menyiasat aduan terhadap syarikat penerbangan yang membuat perubahan pada jadual tanpa notis mencukupi kepada penumpang.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Saripuddin Kasim, pengawal selia menerima pelbagai aduan mengenai kejadian seumpama itu sepanjang tempoh perayaan Hari Raya baru-baru ini dan sudah mengarahkan syarikat penerbangan menyerahkan semua data jadual penerbangan berkaitan bagi tempoh dari 28 April hingga 9 Mei.

“(Ini adalah untuk) mendapatkan pandangan yang objektif, tepat dan menyeluruh tentang situasi, termasuk jadual  penerbangan sebenar berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula oleh semua syarikat penerbangan dalam tempoh perayaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga memetik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia yang memerlukan syarikat menyampaikan sebarang perubahan status penerbangan kepada pelanggan “secepat yang boleh”.

“Bagi kelewatan 2 jam atau lebih, syarikat penerbangan yang beroperasi mesti menyediakan penjagaan termasuk makan, panggilan telefon dan akses Internet. Di samping itu, bagi kelewatan selama 5 jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan, dan pengangkutan, jika penginapan menjadi keperluan.

“Jika masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak menepati tujuan pengguna melakukan perjalanan, pemulangan tiket penerbangan juga perlu dibuat oleh syarikat penerbangan itu,” kata Saripuddin, memetik kod tersebut.

Beliau berkata pengguna yang menghadapi kelewatan atau masalah penerbangan dan tidak mendapat layanan sewajarnya hendaklah membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan terbabit.

“Selain itu, pengguna digalakkan mengemukakan aduan mereka kepada Mavcom melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dokumentasi yang sesuai untuk memudahkan siasatan yang berkesan.”

Kenyataan pengawal selia itu dibuat selepas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong awal hari ini menegur syarikat penerbangan dan memberitahu agar lebih proaktif dalam menangani aduan pelanggan mengenai penjadualan semula penerbangan dan mempunyai komunikasi lebih baik.

Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ketua Pemuda DAP Dr Kelvin Yii juga hari ini menegaskan aduan penumpang yang penerbangan dijadualkan semula tanpa notis yang mencukupi, menyebabkan penumpang terkandas sehingga 10 jam. Mereka juga menghadapi kesukaran apabila cuba menuntut pampasan. – 10 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen