PERJANJIAN Operasi (OA) baharu yang akan menentukan kerangka perundangan untuk Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan ditandatangani sebelum pemaktuban kerangka Asas Aset Terselia (RAB) oleh Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom), kata sumber.
OA antara Kementerian Pengangkutan dan MAHB itu sepatutnya dimaktubkan pada Jun, tetapi ia belum dimuktamadkan.
“Mereka (MAHB) percaya ia akan berlaku selewat-lewatnya pada hujung tahun,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Kerangka baharu itu akan membolehkan MAHB membentuk kerjasama strategik pelaburan dengan sektor swasta, seterusnya mengurangkan beban kewangan ditanggung Putrajaya, kerana model lapangan terbang sebelum ini memerlukan peruntukan kerajaan.
Sementara itu, menurut seorang penganalisis, kerangka RAB itu hanya akan berkuatkuasa selepas OA ditandatangani.
Sumber menambah yang kelewatan itu berlaku kerana kedua-dua pihak sedang berunding memuktamadkan butiran perjanjian terutama dalam terma caj dibayar oleh pengendali lapangan terbang kepada kerajaan.
Caj penumpang dibayar kepada kerajaan oleh MAHB yang merupakan pengendali lapangan terbang terbesar negara berjumlah RM417.6 juta pada 2018 dan RM391.8 juta pada 2017.
Sebelum ini, The Edge melaporkan yang kerajaan masih dalam proses memuktamadkan butiran empat OA baharu yang dibuat bersama pengendali lapangan terbang pada April lalu.
Tarikh akhir sebelum ini untuk memaktubkan OA yang akan menentukan kerangka perundangan bagi membolehkan MAHB menguruskan sendiri 39 lapangan terbang adalah Jun lalu.
OA baharu itu bagaimanapun belum dimeterai. Kerajaan dan MAHB masih dalam rundingan, kata Kementerian Pengangkutan.
The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan ulasan kementerian dan MAHB untuk isu ini.
Mavcom sebelum ini berkata pihaknya dalam fasa akhir menyiapkan kerangka RAB yang akan membentuk asas pembiayaan dan pembangunan rangkaian lapangan terbang di negara ini.
Kerangka RAB itu akan menyaksikan kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) berbeza untuk setiap lapangan terbang, bergantung kepada perkhidmatan dan infrastruktur yang ditawarkan. Ia akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.
Selain itu, Mavcom juga dijangka mengumumkan caj aeronautik baharu untuk pendaratan pesawat dan caj parkir, dan jumlah perbelanjaan pembangunan keseluruhan untuk tempoh ia dilaksanakan, iaitu bermula daripada 2020 sehingga 2022.
Ia sudah membentangkan kerangka PSC untuk empat jenis lapangan terbang kepada pembuat dasar, termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jenis Pertama termasuklah KLIA dan klia2, Jenis Kedua melibatkan lapangan terbang di Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu.
Jenis Ketiga melibatkan Langkawi, Subang, Sibu, Tawau dan Kota Bharu, manakala Jenis Keempat adalah Melaka, Alor Setar, Kuantan, Terengganu, Bintulu, Sandakan, Labuan, Limbang, Mulu dan Lahad Datu.
Sistem jenis ini ditentukan berdasarkan kemudahan lapangan terbang termasuklah jabatan aero dimilikinya.
Sementara itu, satu lagi sumber yang arif dengan perkembangan isu di Putrajaya berkata kadar baharu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Menurut penganalisis, perbezaan kadar PSC tidak akan menjejaskan aliran penumpang.
Kementerian Pengangkutan pada 30 Ogos lalu mendedahkan PSC untuk penumpang berlepas daripada semua lapangan terbang kecuali KLIA akan dikurangkan kepada RM50 untuk penerbangan destinasi luar Asean.
Kadar untuk destinasi Asean dan dalam negara kekal masing-masing sebanyak RM35 dan RM11.
Sebelum ini, The Malaysian Insight juga melaporkan yang kadar baharu ini mungkin hanya akan dikuatkuasakan selepas Mavcom membuat pengumuman mengenainya. – 31 Oktober, 2019.
Komen