Jumlah penumpang meningkat walau dikenakan caj perkhidmatan, kata MAHB 


Ragananthini Vethasalam

MAHB menyaksikan pertumbuhan 2.5% penumpang kepada 99.03 juta pada 2018 berbanding 96.64 juta pada 2017. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Ogos, 2019.

PENGANGKUTAN udara tidak terjejas dengan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) sejak ia dinaikkan pada 2017, malah terdapat peningkatan pengguna, kata Malaysia Airport Berhad (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu turut mencatatkan pendapatan RM1.38 bilion daripada levi tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, daripada jumlah levi yang dikutip itu, RM417.6 daripadanya dibayar kepada kerajaan.

MAHB katanya menyaksikan pertumbuhan 2.5% penumpang kepada 99.03 juta pada 2018 berbanding 96.64 juta pada 2017.

“Ini menunjukkan kadar PSC yang dikenakan di Malaysia tidak memberi kesan negatif terhadap pengangkutan udara,” kata MAHB.

“Malaysia Airports mengiktiraf hasil kira-kira RM1.38 bilion (tahun lepas) daripada PSC untuk operasinya di Malaysia.

“PSC dibayar oleh penumpang dan mewakili komponen kecil berbanding keseluruhan harga tambang pengangkutan udara,” menurut kenyataan itu.

The Malaysian Insight bertanya kepada MAHB mengenai jumlah PSC yang dikutip dan untuk apa ia digunakan, berikutan kutipan levi dipertikaikan oleh syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.

AirAsia enggan mengutip PSC selepas ia dinaikkan tahun lalu kepada RM73 bagi seorang penumpang penerbangan antarabangsa bukan Asean.

PSC dibayar oleh penumpang dan mewakili komponen kecil berbanding keseluruhan harga tambang pengangkutan udara, kata MAHB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.

Syarikat tambang murah itu bertegas bahawa kemudahan di klia2  adalah sub-standard dan penumpang tidak sepatutnya dikenakan caj pada kadar yang sama seperti lapangan terbang utama KLIA. AirAsia hanya mengutip RM50 bagi setiap penumpang berbanding kadar penuh.

Selepas MAHB memfailkan tuntutan terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu dan mahkamah membuat keputusan pada Julai, AirAsia mula mengenakan caj RM73 bagi penerbangan antarabangsa bukan Asean awal bulan ini.

MAHB berkata, PSC yang dikutip merupakan sumber utama pendapatan kumpulan itu, yang membolehkan MAHB memastikan kelestarian operasi dan sebagai sumber pendapatan kepada kerajaan. 

“Sebelum ini, Malaysian Airports membayar kerajaan Malaysia antara RM300 juta hingga RM400 juta setahun sebagai yuran pengguna di bawah rejim PSC. 

“Pada 2018, caj pengguna (dibayar kepada kerajaan) adalah RM417.6 juta, pada 2017 ia adalah RM391.8 juta.” 

MAHB yang menguruskan 39 buah lapangan terbang, juga menggunakan pendapatan itu untuk operasi lapangan terbang yang tidak memberi keuntungan,  terutamanya kepada mereka yang memerlukan bagi memastikan perhubungan kawasan terpencil.

“PSC dikutip daripada beberapa apangan terbang terpilih yang mempunyai kadar penumpang tinggi bagi membolehkan Malaysia Airports meneruskan kesinambungan kewajipan sosialnya bagi memastikan jutaan rakyat Malaysia mendapat akses kepada perhubungan udara dalam Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Terdapat dua semakan dibuat untuk PSC, yang pertama dilaksanakan pada 1 Januari, 2017 untuk menyeragamkan kadar penerbagan dari KLIA dan klia2. 

PSC bagi penerbangan domestik ditetapkan pada kadar RM11, peningkatan daripada RM9 bagi KLIA dan peningkatan dari RM9 di klia2. 

Penerbangan antarabangsa bagi destinasi Asean diseragamkan pada kadar RM35 bagi setiap penumpang. Ini merupakan pengurangan bagi penerbangan dari KLIA, tetapi peningkatan RM3 bagi mereka yang berlepas dari klia2. 

Bagi penerbangan antarabangsa ke destinasi bukan Asean lain, PSC ditetapkan pada kadar RM50. 

Pada Julai tahun lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), yang menetapkan kadar PSC, meningkatkan levi bagi penerbangan antarabangsa bukan Asean kepada RM73. 

Ketika syarikat penerbangan lain mematuhi kutipan penuh daripada penumpang, AirAsia enggan berbuat demikian dan terus mengutip RM50 sehingga ia diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai. 

MAHB juga berkata sejak tahun 2009, ia tidak lagi mensubsidi operasi Express Rail Link, yang mengendalikan kereta KLIA Express dan KLIA Transit.

Perjanjian konsesi 30 tahun yang ditandatangani pada tahun 2002 memerlukan RM5 dari cukai lapangan terbang bagi setiap penumpang KLIA yang akan dibayar kepada ERL, tidak kira sama ada penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api atau tidak.

MAHB telah membayar RM5 setiap penumpang antarabangsa dan RM1 setiap penumpang domestik yang terbang dari KLIA dan klia2, kepada ERL.

Pada 2016, ERL mencatat kerugian bersih berjumlah RM661.34 juta.

MAHB tidak menyatakan bila ia menghentikan subsidi kereta api lapangan terbangnya.– 27 Ogos, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen