AirAsia turunkan kadar PSC di klia2 bermula esok


AIR Asia akan mengenakan kadar baharu Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) sebanyak RM50 untuk penerbangan antarabangsa luar Asean di klia2 bermula esok, kata Presiden Kumpulan AirAsia Bo Lingam.

“Kami menghormati sepenuhnya keputusan Kabinet dan selaras dengan pengumuman menteri, kami akan meneruskan caj PSC yang direndahkan bermula 1 Oktober 2019.

“Disebabkan lapangan terbang milik kerajaan, Kabinet berkuasa untuk melaksanakan caj PSC,” katanya dalam satu kenyataan.

Bulan lepas, Kementerian Pengangkutan mengumumkan keputusan Kabinet untuk menurunkan kadar PSC daripada RM73 untuk semua lapangan terbang seluruh negara kecuali di KLIA.

Caj untuk penerbangan destinasi Asean dan dalam negara kekal antara RM35 dan RM11.

Kadar baharu itu akan dikekalkan walaupun semakan semula Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) mencadangkan kadar lebih tinggi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kabinet boleh menolak cadangan Mavcom kerana semua lapangan terbang adalah milik kerajaan.

AirAsia yang terkait dengan kes mahkamah dengan Mavcom kerana caj PSC tidak dibayar, berkata ia bersetuju dengan tindakan Kabinet menurunkan PSC.

“Fakta yang Kabinet memilih untuk menurunkan kadar PSC kepada RM50 menunjukkan kadar PSC ditetapkan Mavcom adalah kadar maksimum berbanding kadar tetap, selaras dengan kenyataan dibuat Mavcom.

“Kerana itu, kami percaya tiada lagi keperluan untuk mengazetkan kadar PSC lebih rendah untuk dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2019.” – 30 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen