Penumpang tidak perlu bayar lebih jika Mavcom naik kadar PSC


Ragananthini Vethasalam

Kadar untuk penerbangan negara-negara Asean dan destinasi domestik kekal masing masing, RM35 dan RM11. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2019.

PUTRAJAYA akan menampung subsidi Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi penumpang walaupun Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di peringkat akhir dalam menetapkan kadar caj yang lebih tinggi berbanding ditetapkan Kabinet, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya akan menggunakan yuran pengguna yang dikutip daripada pengendali lapangan terbang bagi menampung sebarang kenaikan kadar dikenakan Mavcom.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini mengumumkan kadar PSC untuk penerbangan ke destinasi melangkaui Asean yang berlepas dari mana-mana hab selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ditetapkan sebanyak RM50.

Kadar penerbangan negara Asean dan destinasi domestik kekal masing masing, RM35 dan RM11.

Mavvom mengkaji caj lapangan terbang termasuk PSC, dengan kadar baharu dijangka diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Sumber kerajaan berkata walaupun suruhanjaya itu mengenakan kadar PSC lebih tinggi daripada RM50 yang ditetapkan Kabinet, penumpang tidak perlu membayar lebih kerana pertambahan itu akan ditampung oleh yuran dikutip daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan MMC Group, pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

“Terpulang kepada mereka (Mavcom) jika mahu mengenakan kadar yang tinggi. Jika berlaku, kerajaan akan menampung jumlah selebihnya.

“Sebagai contoh, jika Mavcom menetapkan kadar PSC sebanyak RM60 bagi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke negara bukan Asean, hanya RM50 dikutip daripada setiap penumpang. Baki RM10 akan dibayar menggunakan yuran pengguna yang dikutip daripada pengendali lapangan terbang.”

Tambah sumber, jika Mavcom menaikkan kadar PSC di KLIA, kaedah yang sama akan dipakai.

Kabinet telah memutuskan untuk mengekalkan kadar caj RM73 bagi penerbangan antarabangsa yang melepasi Asean yang berlepas dari hab udara utama negara.

Kadar baharu Mavcom akan berkuatkuasa pada Januari tahun depan, manakala caj yang diumumkan oleh Loke akan bermula pada 1 Oktober.

Bermula Oktober hingga hujung Disember, kadar PSC dikenakan mengikut ketetapan Kabinet.

Sumber berkata, Mavcom perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum mengkaji semula kadar baru PSC untuk digazetkan. – 1 September, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen