AirAsia tuntut RM479 juta daripada Malaysia Airport


AIRASIA memfailkan tuntutan RM479.78 juta terhadap Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) berhubung kerugian dan kerosakan yang didakwanya disebabkan kecuaian pengendali lapangan terbang di terminal penerbangan kos rendah, klia2.

Tuntutan itu difailkan pada Rabu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dilakukan selepas kegagalan mendapatkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebagai pengantara bagi pertikaiannya dengan pengendali lapangan terbang itu, kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan bajet itu juga memohon semakan kehakiman berhubung tindakan Mavcom tetapi ditolak.

“Tuntutan terhadap MASSB adalah bagi kerugian dan kerosakan yang ditanggung oleh AirAsia Berhad dan syarikat penerbangan jarak jauhnya AirAsia X Berhad yang disebabkan oleh kecuaian MASSB dalam pengurusan, operasi, penyelenggaraan dan penyediaan perkhidmatan lapangan terbang serta kemudahan di klia2,” katanya.

“Kami tidak mahu melakukan ini tetapi Malaysia Airports dan Mavcom memaksa. Walaupun kami berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan perkara ini dan melalui saluran yang betul, kami berasa terpaksa memfailkan tuntutan ini kerana tidak mempunyai cara lain untuk melindungi kepentingan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail dalam satu kenyataan.

AirAsia asalnya ingin mendapatkan Mavcom sebagai pengantara berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang enggan dikutip oleh syarikat penerbangan itu daripada penumpang.

Mahkamah Tinggi pada Julai mengarahkan syarikat penerbangan itu membayar wang RM41.52 juta kepada MAHB, firma induk MASSB.

Permohonan AirAsia untuk penangguhan dibatalkan bulan lepas dan syarikat penerbangan itu membuat rayuan.

AirAsia kini mengumpul PSC daripada penumpang sejak 1 Oktober, selepas Kabinet menurunkan caj dari RM73 kepada RM50 bagi destinasi antarabangsa di luar Asean. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen