SATU laporan dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku dan rasuah oleh pengurusan tertinggi Suruhanjaya Sekuriti (SC), ahli lembaga pengarahnya dan ahli politik yang tidak dinamakan.
Wakil Rakyat Malaysia Prihatin yang mahu dikenali sebagai Syahmi berkata laporan itu dibuat pada 4.30 petang Ahad di ibu pejabat antirasuah, Putrajaya.
SC dan SPRM masih belum menjawab pertanyaan mengenai perkara itu daripada Malaysian Insight.
“Saya datang ke SPRM hendak dedahkan salah laku dan jenayah rasuah oleh pengurusan tertinggi SC serta ahli lembaga pengarah dan berkemungkinan ahli politik yang berjawatan penting dalam kerajaan.
“Ada tiga kes yang saya akan rujuk pada SPRM. Pertama melibatkan anak pengurusan tertinggi SC yang turut mendapat jawatan tertinggi di dalam syarikat yang disiasat oleh SC dimana siasatan tersebut ditutup oleh SC,” katanya ketika dihubungi.
Kes kedua, melibatkan konflik kepentingan ahli lembaga pengarah SC membabitkan saham bernilai RM28.2 juta yang mana ahli lembaga pengarah tersebut memiliki kepentingan di dalam syarikat yang mempunyai hubungan kerja dengan SC.
“Kes ketiga pula melibatkan pegawai tinggi SC yang menerima rasuah sebagai balasan menutup kes siasatan SC ke atas syarikat awam yang melakukan kesalahan insider trading.
“Tindakan siasatan perlu disegerakan SPRM kerana banyak syarikat menjadi mangsa selain orang awam,” katanya.
Menurut Syahmi, kes berkenaan sepatutnya sudah lama disiasat SPRM dan mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung tiga kes itu.
“Kami adalah rakyat prihatin yang ingin memastikan agensi kerajaan bersih dan tidak digunakan untuk tujuan peribadi dan terlibat dengan rasuah
“Kami hanya akan menyerahkan semua bukti berkaitan kes ini kepada SPRM,” katanya.
Laporan ini susulan kenyataan SC pada 6 Januari lalu yang mahu mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berhubung pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat.
Menurut kenyataan SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik sekuriti yang didepositkan atau atas nama penama yang diberi kuasa.
“Di samping itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urusan dalam sekuriti hendaklah dilaksanakan hanya oleh pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.
“SC akan berhubung dengan pihak terbabit, termasuk Tan Sri Azam Baki, untuk mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sehari sebelum itu, Azam tampil menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Beliau menjelaskan kepada Panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham yang dibeli itu.
“Saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Bagaimanapun, saham tersebut dipindahkan kepada akaun saham beliau (Nasir) kemudiannya.
“Saya tidak melihat ia satu isu apabila membenarkan adik saya menggunakan akaun saya untuk membeli saham. Jika ia satu kesalahan beritahu saya bahawa ia adalah satu kesalahan,” katanya. – 10 Januari, 2022.
Komen