Syarikat penerbangan diarah segera selesai isu teknikal, kata Wee


Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata syarikat penerbangan telah diarahkan untuk sentiasa menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

SYARIKAT penerbangan telah diarah untuk segera menyelesaikan isu teknikal berkaitan perkhidmatan mereka dan sentiasa menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi, kata Kementerian Pengangkutan.

Menterinya Wee Ka Siong berkata arahan itu dikeluarkan selepas penumpang meluahkan rasa tidak puas hati dalam media sosial apabila pesawat yang sepatutnya dinaiki mereka didakwa lewat tiba dari masa ditetapkan.

“Kerajaan bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka dan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan syarikat penerbangan.

“Demi kepentingan keselamatan dan pematuhan teknikal kepada peraturan penerbangan awam serta keselesaan penumpang, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk memantau dengan lebih baik isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan dan menyampaikan maklumat kepada penumpang bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata kebanyakan aduan penumpang berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehingga syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat mereka untuk memenuhi permintaan. 

Pesawat yang menghadapi masalah teknikal juga telah ‘direhatkan’ daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti, tambahnya.

“MOT meminta orang ramai untuk kekal tenang dan terus memberi maklum balas terperinci kepada syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu operasi yang berlaku.”

Menurut Wee, sejak beberapa hari lalu kementeriannya serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerima dan menyiasat laporan penumpang di beberapa saluran termasuk media sosial yang memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan. 

“MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan dan isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi. 

“Pihak berkuasa juga telah menegur pihak yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.” katanya. – 10 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen