Keputusan mengelirukan universiti bukan masalah pelajar, kata kesatuan


Kesatuan Pelajar Universiti Malaya berkata pelajar seharusnya dibenarkan memilih antara kaedah pengajaran dalam talian atau fizikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2022.

PELAJAR Universiti Malaya terutamanya mereka dalam aliran bukan teknikal yang memerlukan sedikit kelas fizikal harus dibenarkan meneruskan kelas dalam talian, kata kesatuan pelajar hari ini.

Kesatuan Pelajar Universiti Malaya berkata pihak pengurusan universiti sekurang-kurangnya harus membiarkan mereka memilih antara kaedah pengajaran dalam talian atau fizikal serta bukannya memaksa mereka kembali ke kelas fizikal.

“Ini kerana pada awal semester pelajar sudah diberi notis bahawa kelas akan disambung semula secara dalam talian untuk semester berkenaan. Mereka bergantung pada notis tersebut dan membuat pengaturan yang diperlukan.

“Sekarang mereka tidak sepatutnya menjadi mangsa keputusan pusingan U pentadbiran universiti dengan dipaksa membayar kos penginapan dan perjalanan walaupun separuh semester sudah tamat,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.

Kesatuan itu berkata minggu lepas seramai 13,475 pelajar UM menandatangani petisyen menyokong tuntutan supaya pelajar diberi kebebasan memilih cara pembelajaran mereka pada semester ini.

Ini menyumbang kira-kira 78.5% daripada populasi pelajar sarjana muda di UM.

Kesatuan itu juga berkata mereka juga tidak berminat untuk mengetahui bahawa terdapat masalah komunikasi antara pengurusan fakulti dan pentadbiran universiti yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

Mereka juga berkata keputusan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi membantu pelajar memberikan bantuan penginapan untuk mereka kembali ke kelas fizikal hanyalah “janji kosong”.

“Bilik kolej kediaman di UM tidak mencukupi untuk menampung semua pelajar yang memerlukan,” kata kesatuan itu. 

Kesatuan itu menambah mereka sudah memberikan senarai 1,875 pelajar yang memerlukan tempat tinggal kepada HEP tetapi banyak permohonan tidak dilayan.

“Tambahan pula setakat 14 April 2022 hanya terdapat 583 bilik kediaman kosong yang dibuka untuk permohonan yang bermakna sejarah pasti akan berulang tidak lama lagi,” katanya.

Kesatuan itu seterusnya berkata pentadbiran universiti juga gagal menangani isu di mana pelajar akan dikuarantin selepas semua bilik telah penuh.

“Tambahan pula pentadbiran universiti tidak memberikan ‘bantuan’ penginapan.

“Mereka hanya menggunakan pelajar untuk menampung kos operasi mereka dengan memaksa mereka membayar yuran penginapan semester penuh walaupun pelajar hanya akan mendaftar masuk pada minggu ke-8 semester,” katanya.

Situasi itu timbul selepas UM mengumumkan semua pelajar perlu kembali menghadiri kelas fizikal pada separuh semester ketika ini walaupun sebelum ini mengumumkan mereka boleh menghadiri kelas dalam talian.

Kelas diadakan secara dalam talian semasa pandemik Covid-19. – 18 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen