Kesatuan Mahasiswa UM mahu keputusan kelas bersemuka dikaji semula


Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya mahukan pengurusan universiti mengkaji semula keputusan menghendaki pelajar menghadiri kelas secara bersemuka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2022.

KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa pengurusan universiti mempertimbangkan semula keputusan menghendaki pelajar ijazah untuk kembali ke kampus bagi pengajaran bersemuka.

Dalam kenyataan dikeluarkan KMUM, kesatuan pelajar itu berkata pengumuman Khamis lepas dibuat secara terburu-buru dan akan menyebabkan pelbagai masalah kepada pelajar, menambah yang notis itu sepatutnya dikeluarkan lebih awal.

Khamis lepas, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM Prof Dr Yatimah Alias dalam kenyataan menyebut yang semua pelajar dihendaki menghadiri kelas secara bersemuka bermula minggu kelapan semester 2.

“Pihak Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) bertarikh 23 Mac 2022 berkenaan isu mewajibkan rakan mahasiswa tempatan untuk kembali ke kampus bagi mengadakan kelas secara bersemuka bermula dari minggu kelapan pengajian untuk Semester 2, Sesi 2021/2022,” kata kenyataan.

“Pihak Kesatuan ingin menegaskan bahawa pengumuman yang dibuat tempoh hari adalah secara terburu-buru dan dalam notis yang singkat dimana pelbagai permasalahan diutarakan oleh rakan mahasiswa. Pengumuman sebegini sepatutnya dibuat dalam kadar yang lebih awal untuk membenarkan rakan mahasiswa lebih besedia.

“Sekiranya pihak pengurusan universiti ingin meneruskan keputusan bagi mewajibkan kelas secara bersemuka pada semester ini, pihak Kesatuan mempunyai beberapa tuntutan,” kata kenyataan.

Antara tuntutan yang dibuat adalah penyediaan SOP jelas bagi mengelakkan pembentukan kluster dalam persekitaran fizikal dan memastikan tiada pelajar ketinggalan terutamanya bagi mereka yang menjadi kontak rapat atau dijangkiti Covid-19.

Tambah KMUM, pengurusan juga wajar menawarkan pilihan kepada pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian walaupun negara sudah memasuki fasa endemik bermula 1 April.

”Pihak Kesatuan telah menguar-uarkan borang pungutan suara rakan mahasiswa berkenaan keputusan ini dan lebih 80% menyatakan mereka keberatan untuk pulang ke kampus. Pihak Kesatuan berpendapat bahawa rakan mahasiswa harus diberikan pilihan untuk memilih sama ada mereka ingin mengikuti kelas dalam talian atau bersemuka.”

Pungutan suara dibuat pada 25 March lalu oleh KMUM mendapati seramai 1,681 (80.9%) keberatan untuk pulang ke kampus berbanding hanya 397 (19.1%) yang berhasrat kembali ke kampus.

“Pihak Kesatuan juga menuntut dengan rasional serta tuntutan yang telah digariskan agar keputusan yang telah dibuat dikaji semula dengan mengambil kira kebajikan mahasiswa.”

Malaysia merekodkan penurunan kes baharu Covid-19 kepada 21,839 semalam, berbanding 24,316 kes kelmarin.

Laman web CovidNow menunjukkan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kini mencecah 4,101,081. – 26 Mac, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen