Dr Mahathir dijangka keluar IJN beberapa hari lagi


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selamat menjalani prosedur rawatan pilihan di IJN semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2022.

DR Mahathir Mohamad selamat menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semalam dan sedang beransur pulih.

Bekas perdana menteri dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN dalam masa beberapa hari lagi, kata pihak hospital itu.

“Sepasukan doktor dari IJN dan Pusat Perubatan Universiti Malaya menjalankan prosedur itu. Prosedur itu biasa dan berjalan lancar.

“Dr Mahathir sedang kembali pulih. Beliau dalam keadaan sedar dan bersemangat tinggi.

“Berdasarkan perkembangan klinikalnya, beliau dijangka akan dibenarkan keluar dari IJN dalam beberapa hari lagi,” kata Bahagian Komunikasi Korporat IJN dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir, 96, dimasukkan ke IJN kelmarin (7 Januari, Jumaat) untuk prosedur rawatan pilihan.

Pihak hospital pakar jantung itu bagaimanapun tidak memaklumkan rawatan berkenaan, yang dijalankan lebih dua minggu selepas Dr Mahathir keluar dari IJN.

Bekas perdana menteri dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan kesihatan pada 16 Disember dan keluar tujuh hari kemudian pada 23 Disember.

Dr Mahathir diketahui mempunyai rekod sakit jantung, sejak 1989 ketika berumur 64 tahun.

Beliau kemudian terkena dua kali serangan jantung pada 2006 dan setahun kemudian menjalani pembedahan pintasan kuadrup di IJN.

Pada 2013 dan 2016, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk rawatan kerana jangkitan pada dada. – 9 Januari, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen