Abang Ismail Sabri pimpin parti politik baharu


Alfian Z.M. Tahir

Kamarazaman Yaakob yang jug aabang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sedia menubuhkan parti baharu yang mempunyai ahli terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti aktivis prodemokrasi, termasuk dari haluan kiri selain aktivis politik dari Sabah dan Sarawak.– Gambar Ihsan Kamarazaman Yaakob, 6 Oktober, 2021.

KAMARAZAMAN Yaakob bekas presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) dan abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan melancarkan parti baharu bulan ini, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Minggu lepas, The Malaysian Insight melaporkan seorang bekas aktivis pelajar akan membentuk parti baharu yang terdiri daripada ahli dari pelbagai latar belakang seperti individu haluan kiri, ahli ekonomi, ahli politik bebas dan aktivis politik.

Seorang ahli akademik dekat dengan Universiti Malaya baru-baru ini mengesahkan perincian sumber tersebut, mengatakan parti itu hampir 100 peratus siap.

Kamarazaman merupakan ketua UMSU dari 1973 hingga 1974. Beliau adalah salah seorang pemimpin pelajar yang turut serta dalam demonstrasi Baling bagi memprotes penurunan harga getah sebelum ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama dengan Anwar Ibrahim (Presiden PKR).

Kamarazaman dibebaskan pada 1976, selepas dua tahun ditahan.

“Ramai gambarkan beliau sebagai seorang sosialis kerana minatnya yang mendalam terhadap orang miskin dan terpinggir. Beliau penulis yang produktif dan telah menulis begitu banyak rencana,” kata seorang bekas aktivis pelajar, menambah Kamarazaman seorang yang kuat dan berprinsip.

“Rakan sebiliknya ketika beliau pelajar ialah Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno sekarang.”

Seorang lagi yang kenal Kamaruzaman pada masa mudanya berkata bekas pemimpin pelajar itu masih seorang yang prorakyat.

“Beliau mungkin tidak masuk televisyen untuk bincangkan peristiwa semasa tetapi beliau masih Kamarazaman yang masih muda. Nasib rakyat masih keutamaannya, terutamanya orang miskin.

“Pemahamannya tentang politik selalu luar biasa. Juga, seorang orator yang baik dan bukan seseorang yang boleh dibeli. Saya percaya jika beliau bergabung dengan Umno, beliau boleh jadi salah seorang menteri, tetapi beliau pilih untuk tidak (sertai Umno) dan tetap dengan kepercayaannya,” kata lelaki itu.

Minggu lepas, The Malaysian Insight melaporkan parti baharu itu bertekad mengumpulkan sokongan aktivis prodemokrasi, termasuk dari haluan kiri selain aktivis politik dari Sabah dan Sarawak.

Difahamkan, parti baharu itu tidak akan bersama Pakatan Harapan mahu pun pembangkang.

Parti baharu itu akan dilancarkan pada 10 Oktober. – 6 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen