Bekas tahanan ISA akan bentuk parti baharu, kata sumber


Alfian Z.M. Tahir

Satu parti politik baharu bakal ditubuhkan yang memberi tumpuan kepada kebajikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

SEORANG bekas aktivis pelajar Universiti Malaya dan saudara terdekat pemimpin tertinggi di negara ini akan mengetuai sebuah parti politik baharu yang memberi tumpuan kepada kebajikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama, kata sumber.

Bekas pelajar itu yang merupakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertekad untuk mengumpulkan sokongan daripada aktivis pro-demokrasi termasuk dari sayap kiri serta aktivis politik dari Sabah dan Sarawak.

Buat masa ini, pemimpin parti dan ahli pengasas memilih untuk tidak disebutkan nama sehingga pengumuman dibuat pada sidang media minggu depan. Mereka sudah menghantar pemrohonan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan sedang menunggu kelulusan.

Ahli pengasas memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka yakin permohonan untuk mendaftar sebagai parti politik akan mendapat kelulusan oleh RoS.

“Selagi kita menyatakan dengan jelas objektif kita dan memenuhi syarat ditetapkan oleh RoS, tidak ada alasan mengapa mereka mesti menolak permohonan itu,” kata anggota berkenaan.

Katanya, bekas aktivis pelajar itu sudah bertemu dengan beberapa individu terkemuka seperti ahli akademik, ahli ekonomi, aktivis politik dan hartawan perniagaan.

“Hubungan dengan ahli akademik, aktivis politik, ahli ekonomi, ahli politik semasa dan masa lalu sudah dibuat. Parti itu juga sudah bertemu dengan perwakilan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

“Beliau adalah tokoh terkenal dalam kalangan aktivis pelajar pada tahun 70-an dan 80-an. Beliau rapat dengan Anwar Ibrahim, Hishammuddin Rais dan Ibrahim, hanya menyebut beberapa nama,” katanya.

“Beliau adalah sebahagian daripada demontsrasi Baling di mana pelajar melakukan tunjuk perasaan bersama berkenaan isu penurunan harga getah,” katanya.

Sumber itu menggambarkan bekas aktivis pelajar itu sebagai individu yang bijak dan lantang yang sudah menulis beberapa buku serta terkenal dalam kalangan ahli Umno, PKR, DAP, PAS dan Amanah.

“Beliau memiliki semangat berhaluan kiri dalam diri dirinya di mana rakyat miskin dan biasa perlu dibela,” kata sumber berkenaan.

Sumber lain yang rapat dengan parti berkenaan juga mengatakan beberapa ahli Parlimen bebas juga bersedia menyertai parti itu.

“Kami sudah bertemu dengan ramai individu daripada pelbagai latar belakang. Kami juga sudah bertemu dengan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Ahli Parlimen bebas juga menyatakan niat untuk bergabung dengan kami. Perincian lebih lanjut hanya dapat dibuat selepas parti itu dilancarkan secara rasmi,” kata sumber berkenaan.

The Malaysian Insight dimaklumkan bahawa parti baharu itu tidak akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan atau dengan pembangkang.

“Kami mempunyai struktur kami sendiri. Akan ada lebih satu timbalan presiden dan juga naib presiden,” katanya.

Kedua-dua sumber berkata perincian dan objektif parti akan dijelaskan pada hari pelancaran.

“Individu yang memimpin parti akan mengejutkan semua orang tetapi kami bersedia menjelaskan kepada rakyat di sebalik pembentukan parti ini,” tambah sumber berkenaan. – 1 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen