Pemuda 26 tahun dilantik jadi ahli lembaga pengarah UM aktif alumni, kata menteri


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Danesh Raj Nagarajan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah UM bermula 4 Oktober hingga 3 Oktober 2021. – Facebook, 5 Oktober, 2021.

DANESH Raj Nagarajan, 26, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Malaya (UM) kerana aktif dalam alumni, kata Dr Noraini Ahmad.

“Pelantikan itu berdasarkan penglibatannya dalam alumni dan ini adalah masa sesuai untuk kita memberi peluang dan peranan kepada anak muda dalam institusi pengajian tinggi awam,” kata menteri pengajian tinggi kepada Dewan Rakyat pagi ini.

Noraini menjawab soalan tambahan daripada Saifuddin Nasution (Kulim Bandar Baru-PH) mengenai pelantikan Danesh sebagai ahli lembaga pengarah UM.

Danesh, yang merupakan bekas pegawai khas (politik) di Pejabat Perdana Menteri berkata di laman Facebook miliknya yang UM menjadikannya seperti sekarang dan akan memberikan yang terbaik untuk universiti.

“Dengan kudrat yang ada saya akan lakukan tugas semak dan imbang tanpa kompromi demi masa depan sahabat mahasiswa, alumni serta varsiti kesayanganku,” kata Danesh.

Bekas ahli Parlimen belia Selangor itu berkata beliau belajar seni persembahan di UM dan dikatakan berasal dari Kampung Baru Ayer Tawar di Perak. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen