Graduan UM kecewa diarah perintah bela diri kes protes naib canselor


Graduan Universiti Malaya Wong Yan semalam diperintahkan mahkamah untuk membela diri berhubung protes terhadap bekas naib canselor Abdul Rahim Hashim pada majlis konvokesyen universiti itu tiga tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2022.

UNIVERSITI Malaya (UM) masih feudalistik dan gagal mengembangkan wacana intelektual, kata bekas penuntutnya yang diperintahkan mahkamah untuk membela diri berhubung protes terhadap bekas naib canselor Abdul Rahim Hashim pada majlis konvokesyen universiti itu tiga tahun lalu.

Pada 14 Oktober 2019, Wong Yan Ke selepas menerima skrol ijazahnya di atas pentas, menayangkan plakad tertera antara lain mendakwa Abdul Rahim boneka kepada ahli politik, mencabul kebebasan akademik dan gagal menyelesaikan masalah kewangan UM, sambil menjerit “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Graduan kejuruteraan itu mendakwa sebahagian daripada bantahannya juga atas ucapan berbaur perkauman Abdul Rahim ketika itu naib canselor UM semasa Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan Wong membela diri atas selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap tertuduh di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan telah memanggil 13 saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah menetapkan 4 hingga 7 Julai sebagai tarikh perbicaraan Wong yang juga bekas pengerusi Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany).

Mahkamah juga menetapkan 17 Mei untuk pembelaan menyerah saksi yang akan dipanggil.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di Twitter semalam, Wong berkata beliau kecewa dengan keputusan mahkamah.

Katanya, kepimpinan UM gagal melihat kesan tindakan universiti itu terhadap masyarakat majmuk.

“Sebagai universiti Malaysia pertama, UM masih mengekalkan sistem feudal.

“Tidak hanya gagal mengembangkan wacana intelektual, ia juga membiarka masyarakat terus jahil dan memesongkan nilai kebebasan serta kesaksamaan untuk mengekalkan status quo, yang melindungi kepentingan mereka yang berkuasa,” katanya.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim mendakwa pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum 2018 menghapuskan penguasaan politik Melayu dan hak keistimewaan Melayu, agama Islam, institusi raja mula dipersoalkan. – 6 April, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen