Najib, Anwar debat 12 Mei


Debat antara bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim akan disiar secara langsung pada 9 malam dari Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada 12 Mei. – Gambar The Malaysian Insight, 17 April, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan berdebat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 12 Mei ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, umum wakil mereka.

Debat itu akan disiar secara langsung pada 9 malam menerusi beberapa saluran media yang akan diumum kelak.

“Secara amnya format debat perdana ini akan merangkumi tiga bahagian.

“Pertama, berhubung permasalahan yang dihadapi syarikat minyak dan gas Sapura Energy, serta sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

“Kedua, berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir, serta hala tuju negara.

“Ketiga, sesi soal jawab,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dan pembantu Najib Isham Jalil dalam sidang media bersama.

Debat akan dikendalikan oleh wartawan The Malaysia Gazette Haslina AR Kamaludin dan dijangka berlangsung selama dua jam.

“Kami percaya ramai yang menanti debat perdana ini,” tambah mereka, yang menyifatkannya peluang kepada rakyat untuk meraikan politik idea dan mencerminkan budaya politik matang.

Debat itu juga boleh diikuti secara fizikal di lokasi atas jemputan Anwar dan Najib.

“Maklumat terperinci berhubung kehadiran fizikal akan diumum kemudian,” kata mereka.

Menurut Isham, jumlah jemputan akan diagih sama rata antara Najib dan Anwar, serta untuk orang awam dan media.

Dewan Tunku Canselor boleh memuatkan hadirian sehingga 3,000, sebelum pandemik Covid-19, tambahnya.

“Dengan pelaksanaan SOP kita dengar bulan lepas mereka adakan majlis konvokesyen dengan kehadiran 500 orang,” katanya.

Pihak penganjur juga akan meneliti untuk meletakkan khemah dan skrin di luar dewan, bergantung perbincangan dengan pihak pengurusan universiti, kata Fahmi.

Debat ini timbul selepas Najib berbalas kenyataan dengan bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli sejak hujung Mac mengenai wajar atau tidak kerajaan membantu lagi Sapura Energy yang terbeban masalah kewangan.

Dalam satu wawancara, Rafizi berkata beliau sedia berdebat secara terbuka dengan Najib sekiranya ada mana-mana pihak yang menganjurkan debat itu.

Najib menyahut cabaran Rafizi tetapi mengheret Anwar untuk ikut sama berdebat dengannya.

Anwar kemudian menyahut cabaran itu dan bersedia bila-bila masa.

Jelas Anwar, sikap beliau mengenai debat jelas dan tidak berubah malah mengingatkan cabaran sama terhadap Najib 10 tahun lalu yang bagaimanapun tidak bersahut.

Pada 2011, Anwar mencabar Najib untuk berdebat mengenai pelan gabungan Pakatan Rakyat pada masa itu menuju Pilihan Raya Umum ke-13. Najib pada masa itu berpandangan debat hanya membuang masa. – 17 April, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen