Pakar ekonomi gesa penjelasan isu pengambilalihan lebuh raya


Alfian Z.M. Tahir

CADANGAN Putrajaya untuk membenarkan sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan mengambil alih empat lebuh raya popular di Lembah Klang adalah idea yang baik tetapi masih terdapat lebih banyak persoalan daripada jawapan, kata pakar ekonomi.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight terdapat kemungkinan penyelewengan dan penyalahgunaan berlaku dalam pengambilalihan itu sambil menambah kerajaan mesti memegang kawalan tegas ke atas lebuh raya dan bukannya memberikannya kepada Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) Berhad.

Mereka bagaimanapun bersetuju pengambilalihan itu adalah kos efektif dan memberi manfaat kepada pengguna.

Pakar ekonomi terkenal Prof Dr Rajah Rasiah berkata terdapat keperluan mendesak untuk mendapatkan lebih penjelasan daripada Putrajaya mengenai pengambilalihan konsesi tol ALR di empat lebuh raya di Lembah Klang.

Sambil menyatakan tawaran daripada ALR untuk memperoleh empat lebuh raya iaitu Kesas, LDP, Sprint dan Smart pada harga RM5.48 bilion adalah menarik Rajah berkata cadangan itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada menawarkan jawapan.

“Pegawai ALR mendakwa cadangan pengambilalihan mereka atau RM5.48 bilion bertujuan memendekkan lanjutan konsesi kerana ia perlu memulangkan konsesi lebuh raya kepada kerajaan sebaik sahaja hutangnya dibayar sepenuhnya.

“Siapakah yang akan memungut hutang dan bagaimanakah tuntutan sokongan berasaskan bukan keuntungan akan diambil kira?,” soal profesor ekonomi terkemuka di Institut Asia-Eropah di Universiti Malaya itu.

“Cadangan itu kelihatan bagus tetapi ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan,” tambahnya.

Minggu lalu Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata ALR – sebuah syarikat bukan berasaskan keuntungan baharu akan mengambil alih konsesi tol empat lebuh raya sebagai sebahagian daripada program penstrukturan supaya tiada kenaikan tol akan dilaksanakan sehingga tamat tempoh konsesi.

Akibatnya kadar tol sedia ada akan kekal sehingga tamat tempoh konsesi masing-masing.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad bagaimanapun berkata Putrajaya sepatutnya mengambil alih empat konsesi tol dan bukannya menyerahkannya kepada ALR.

“Ini akan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan dan kronisme dan jika ALR menerima konsesi tol, tiada perlindungan akan dilaksanakan sekiranya firma itu memberikan ‘urus niaga yang menguntungkan kepada syarikat kroni’ sebagai pertukaran untuk kerja yang dilakukan,” kata Khalid.

Pada 2019 semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka mencadangkan untuk mengambil alih empat lebuh raya itu dengan harga RM6.2 bilion menjadikannya bebas tol selama 16 jam sehari dan memberi diskaun 30% untuk baki jam seterusnya.

Menjawab cadangan Khalid Rajah berkata kerajaan perlu kembali kepada perjanjian yang dibuat apabila konsesi tol diberikan.

“Sudah tentu ada keperluan untuk pihak berkuasa memegang pemilikan bagi penyelenggaraan empat lebuh raya tetapi walaupun Putrajaya mengambil alih ia harus menganggap lebuh raya itu sebagai kemudahan awam yang sepatutnya dijalankan dengan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya. – 17 April, 2022.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen