Pembangunan melampau punca banjir kilat Lembah Klang, kata pakar


Raevathi Supramaniam

Menurut pakar pembangunan melampau menjadi angara penyumbang bencana banjir di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Mac, 2022.

PEMBANGUNAN melampau antara faktor utama banjir kilat kerap berulang di Kuala Lumpur, kata pakar.

Ini, ditambah dengan perubahan iklim, akan menjadikan ibu kota lebih kerap banjir pada masa akan datang, kata mereka.

Pembangunan beberapa kolam tadahan air di kawasan Lembah Klang mungkin turut menyumbang kepada banjir baru-baru ini, tambah mereka.

Dr Salmah Zakariah, bekas ketua pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), berkata pembangunan di Lembangan Sungai Klang terlampau padat sehingga sebahagian besar kawasan itu diturap, dengan tar atau konkrit.

Ini, katanya, meningkatkan aliran air di permukaan apabila hujan.

“Sebelum urbanisasi, air hujan dipintas oleh tumbuh-tumbuhan. Air akan menyusup ke dalam tanah, ambil masa untuk ke sungai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Selepas urbanisasi, air hujan yang dengan cepat dikumpulkan dari bumbung dan kawasan berturap lain, mengalir ke longkang sebelum ke sungai terdekat.

“Jika anda lihat imej satelit Lembangan Sungai Klang, kawasan itu berturap sepenuhnya. Dalam masa satu jam boleh jadi banjir kilat.”

Ribuan penduduk terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2022.

Antara 2015 dan 2020, terdapat 48 banjir kilat di Lembah Klang. Pada 2017, terdapat lima kejadian banjir kilat, tetapi meningkat tiga kali ganda pada 2020 kepada 13.

Kapasiti sungai yang berkurangan kerana kelodak akibat hakisan dan pembinaan cerun bukit secara melulu di sungai dan rizab sungai merupakan faktor lain yang turut menyebabkan banjir kilat, katanya.

Lembangan Sungai Klang terdiri daripada tujuh sungai - Sungai Damansara, Sungai Kayu Ara, Sungai Batu, Sungai Kerayong, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Berbanding bandar lain seperti New York atau London di mana sistem sungai mengalir melalui tengah-tengah bandar tetapi tiada banjir, Salmah berkata ini kerana bandar-bandar ini dibina secara menegak.

“Pilihan di bandar lain, mereka bina secara menegak, bermakna bangunan tinggi. Ini untuk memastikan ruang untuk air tidak diambil. Tingkat bawah adalah untuk air mengalir.”

Pada 7 Mac, banjir kilat sekali lagi melumpuhkan bandar itu selepas banjir besar pada Disember, merupakan yang terburuk dalam sejarah Lembah Klang sejak 1971.

Banjir pada Disember menyebabkan kerosakan besar selain menyaksikan sebahagian Shah Alam dan Kuala Lumpur ditenggelami air. Sementara itu, banjir minggu lepas menyebabkan bandar itu lumpuh.

Susulan banjir tersebut, status enam kolam tadahan air di Kuala Lumpur menjadi tanda tanya apabila laporan ketua juruaudit mendapati enam daripada 15 kolam telah diluluskan untuk pembangunan.

Enam kolam itu terletak di Batu, Nanyang, Delima, Taman Wahyu, Batu 4 1/2 dan Taman Desa.

Banjir pada Disember menyebabkan kerosakan besar selain menyaksikan sebahagian Shah Alam dan Kuala Lumpur ditenggelami air. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Mac, 2022.

“(Pembangunan) boleh menyumbang, tetapi ia bukan satu-satunya faktor. Pembangunan enam kolam tersebut adalah di kawasan lembangan sungai Batu.

“Tetapi lembangan Sungai Klang lebih banyak daripada Sungai Batu. Air yang dibawa turun ke Kuala Lumpur dari sungai-sungai lain juga,” kata Salmah.

“Ia boleh menjadi punca jika banjir berhampiran kolam dan lembangan tempat ia dibangunkan. Tetapi dalam banjir kilat, ia sudah berlaku sebelum kolam dibangunkan, (apatah lagi) ia tidak menjejaskan kawasan (tempat kolam itu),” katanya.

Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur Muhammad Yasir Yahya menjelaskan kolam Batu, Nanyang, Delima dan Taman Wahyu akan mengekalkan fungsi sedia ada walaupun telah diluluskan untuk membangunkan empat lokasi.

Muhammad Yasir berkata kolam tadahan di Batu 4 1/2, sebagai contoh, sebaliknya akan menjalani kerja-kerja menaik taraf untuk menempatkan taman rekreasi awam dan mengekalkan fungsi utama pencegahan banjir.

Beliau turut menjelaskan kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan bercampur membabitkan dua kolam tadahan di Taman Desa dan Batu 4 1/2 telah dibatalkan.

Jadikan Lembah Klang lebih serap hujan

Presiden Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman berkata Malaysia perlu melihat masa lalu untuk menambah baik sistem perparitan dan merancang untuk daya tahan iklim.

“Kami tidak merancang untuk menerima peningkatan jumlah hujan walaupun mempunyai banyak amaran. Ia hanya akan menjadi lebih teruk. Kami benar-benar tahu.”

Beliau berkata kerajaan mesti menghasilkan pendekatan berasaskan ekosistem yang lebih terkoordinasi yang melangkaui sempadan negeri, dan memulihara tanah dan hutan untuk bertindak sebagai span.

“Bandar span bermakna menghijaukan lebih banyak ruang, mempunyai lebih banyak taman dan mengumpul air hujan.

“Tengok di mana kita boleh mencipta span di Kuala Lumpur. Walaupun di dalam bangunan, pastikan jenis rumput yang betul digunakan dan jauhkan dari menurap konkrit.

“Kita perlu melihat bagaimana untuk lakukannya di Kuala Lumpur kerana bandar ini terlalu membangun. Ia bukan tentang membina Terowong Pintar yang lain. Ia adalah satu cabaran bagi perancang bandar.”

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia Shariffa Sabrina Syed Akil berkata Malaysia harus belajar bagaimana untuk mengurangkan banjir dari negara jiran Singapura.

“Hujan sepanjang tahun di Malaysia. Kita mesti ingat ini pada bila-bila masa dan apa sahaja yang kita bina, tetapi kita tidak pernah menaik taraf sistem perparitan. Pokok juga tidak cukup di bandar-bandar.

“Lihat di Singapura, ia membina, tetapi dalam masa yang sama ia juga menanam banyak pokok. Kerajaan tidak menutup tasik.

“Ia telah menebus tanah, tetapi apa yang dibinanya? Hutan, jadi ia akan menyerap air apabila hujan.

“Kami membina pusat beli-belah, kondo dan kawasan perindustrian. Tiada tempat untuk air pergi; semua tasik dan kolam takungan air ditutup.

“Jadi, ke mana air itu akan pergi?” – 15 Mac 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen