Lembah Klang berjaga-jaga hadapi banjir kilat


Banjir kilat boleh berlaku susulan hujan lebat yang berterusan di Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2022.

KETIKA hujan lebat berterusan di Lembah Klang, pihak berkuasa sentiasa berjaga-jaga sambil memantau keadaan banjir kilat, lapor The Star.

Pihak berkuasa bersiap sedia sekiranya mereka perlu segera menggerakkan unit mereka.

Untuk memantau keadaan, pihak berkuasa di Shah Alam dan Klang menggunakan data masa nyata untuk memantau banjir.

Bagi menangani isu banjir, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau takungan dan pamnya bagi memastikan kemudahan itu berfungsi dengan baik.

Mereka juga memantau dengan teliti Taman Sri Muda, Taman Mesra, Kampung Kebun Bunga, Padang Jawa dan Seksyen 13 yang sebelum ini dilanda banjir kilat.

Presiden Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan, berkata mereka menggunakan kamera televisyen litar tertutup untuk menjalankan pemantauan banjir dalam talian sepanjang masa.

“Unit tindak balas pantas sedang bersedia dan kami meningkatkan pemeriksaan ke atas rangkaian saliran,” katanya dipetik sebagai berkata.

Tahun lalu, hujan lebat sebelum dan pada hujung minggu 17-18 Disember menyebabkan banjir besar di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Banjir itu menyebabkan lebih 70,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan 54 nyawa. Selangor adalah antara negeri yang paling teruk dilanda banjir.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyalahkan kekurangan persiapan oleh kerajaan Selangor dan kekecohan dalam kalangan penyelamat atas kejadian banjir yang mendatangkan malapetaka di negeri paling ramai penduduk di negara itu tahun lalu.

Bagi tebatan banjir pula, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengenal pasti 34 kawasan utama banjir kilat dan memperuntukkan kira-kira RM28 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata, pengurusan banjir akan meliputi sebelum, semasa dan selepas banjir.

Sementara itu, penduduk Subang Jaya digesa untuk melihat amaran berkaitan banjir di platform media sosial Majlis Bandaraya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi maklumat terkini mengenai amaran banjir melalui papan iklan elektronik mereka.

Bilik gerakan DBKL di Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut akan diaktifkan untuk menyelaraskan respons kepada mangsa banjir, jika sebarang kejadian berlaku. – 4 Mac, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen