Aplikasi RepotLah bantu penduduk salur aduan kepada wakil rakyat


Noel Achariam

Aplikasi RepotLah membolehkan pengguna melaporkan jalan berlubang atau kerosakan lampu isyarat dan memuat naik klip kamera pemuka pemandu yang tidak beretika di kawasan mereka. – Gambar RepotLah, 25 Februari, 2022.

PENDUDUK Lembah Klang tidak lama lagi dapat menyalurkan aduan mereka kepada wakil rakyat melalui aplikasi RepotLah yang akan dilancarkan dalam masa dua minggu.

Aplikasi ini akan membolehkan pengguna melaporkan jalan berlubang atau kerosakan lampu isyarat dan memuat naik klip kamera pemuka pemandu yang tidak beretika di kawasan mereka.

Aduan ini kemudiannya akan disalurkan kepada wakil rakyat masing-masing untuk diambil tindakan.

Pengasas RepotLah Keasavan Hari Krishnan berkata aplikasi itu kini sedang diuji di Kinrara dan Subang, Selangor.

Pengguna boleh memuat naik aduan mereka melalui video, gambar dan komen pada aplikasi berkenaan, tambahnya.

“Apabila aduan dimuat naik ia akan dihantar kepada wakil rakyat.

“Kami sedang bekerjasama dengan beberapa ahli Parlimen, Adun dan ahli majlis berkenaan perkara ini,” katanya.

Aplikasi berkenaan akan menerima lebih banyak ciri dalam beberapa minggu akan datang seperti pilihan untuk membuat aduan mengenai kes letak kenderaan berganda, pencemaran bunyi, sampah dan merokok di restoran.

Setakat ini Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Kota Damansara Shatiri Mansor, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Exco Selangor Izham Hashim telah menyatakan sokongan mereka.

“Kami perlahan-lahan bergerak ke kawasan lain dan berbincang dengan 10 wakil rakyat lain,” kata Keasavan.

Beliau berkata pasukannya bekerjasama dengan ahli Parlimen kerana mereka mempunyai kuasa untuk mendesak tindakan diambil terhadap sebarang isu.

“Semua aduan dikendalikan oleh pasukan kami sebelum dihantar kepada wakil rakyat.

“Selepas butang muat naik ditekan, aplikasi akan menandakan lokasi GPS pengguna secara automatik.

“Aduan akan segera disampaikan kepada ahli Parlimen, wakil rakyat atau ahli majlis masing-masing.

“Mereka akan mengakses aduan dan menghantarnya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan,” katanya.

Beliau berkata wakil rakyat boleh melihat semua aduan di kawasan pilihan raya mereka.

Aplikasi ini akan menandakan semua lokasi laporan di Peta Google dan Waze bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti kawasan yang dipersoalkan.

“Ini akan menjadi platform bersepadu untuk semua ahli Parlimen dan Adun melihat apa yang berlaku di kawasan mereka.

“Kami sudah bekerjasama dengan wakil rakyat Kinrara dan Subang serta akan bekerjasama dengan Fahmi minggu depan,” katanya.

Beliau berkata ahli Parlimen lain dialu-alukan untuk menerima pakai apliasi berkenaan.

Pengasas bersama RepotLah Mohammed Feirdhauz Khairudin berkata pasukan itu membangunkan aplikasi yang lancar dan interaktif untuk rakyat Malaysia.

“Ia semudah log masuk ke aplikasi dan pengguna boleh mula membuat aduan.

“RepotLah juga mempunyai bahagian komuniti di mana pengguna boleh memaklumkan satu sama lain tentang isu di kawasan tertentu atau membincangkan isu tempatan,” katanya.

Bagi menjejaki laporan bahagian aktiviti akan mengumpulkan aduan yang disahkan yang kemudiannya akan diserahkan kepada pihak berkuasa dan ditandakan sebagai dalam siasatan.

Feirdhauz berkata di Kuala Lumpur dan Selangor misalnya terdapat isu jalan raya yang boleh menyebabkan kemalangan.

“Kadangkala isu ini tidak didedahkan kepada pihak berkuasa jadi aplikasi itu adalah platform yang baik untuk memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Pengguna aplikasi boleh berinteraksi melalui ciri suka, ulasan dan kongsi. Butang kongsi akan membolehkan pengguna berkongsi isu dalam komuniti mereka,” katanya.

Ini akan membolehkan penduduk di kawasan kejiranan tertentu berkongsi maklumat sesama mereka, tambahnya.

“Untuk paparan lebih terperinci terdapat butang untuk komuniti tertentu seperti Subang, Kinrara, Kepong, Kapar dan kawasan lain,” katanya.

Aplikasi ini adalah percuma dan boleh didapati di Apple App Store dan Google Play. – 25 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen