Mangsa banjir bersyukur ramai sukarelawan tolong bersih


Elill Easwaran

Mangsa dan sukarelawan banjir memberitahu fasa pembersihan ini mungkin memakan masa lebih seminggu kerana kekurangan tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2021.

MANGSA dan sukarelawan banjir kini dalam fasa pembersihan pasca banjir selepas paras air di kebanyakan tempat telah surut.

Mereka memberitahu Malaysian Insight fasa ini boleh mengambil masa sehingga seminggu atau lebih kerana kekurangan tenaga kerja.

Ramesh Kanan, 49, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka berkata, untuk keluarkan perabot kotor dari rumah sendiri mengambil masa sehingga dua hari.

“Tiga suku rumah saya ditenggelami air pada hujung minggu lalu dan saya baru pindahkan perabot masuk dalam rumah. Terdapat juga sisa dan lumpur tambahan yang masuk rumah semasa banjir.

“Dua hari kebelakangan ini lebih mudah kerana ada sukarelawan tolong keluarga saya bersihkan rumah,” kata Ramesh yang menetap di rumah satu tingkat di Taman Sri Muda di Shah Alam, salah satu kawasan paling teruk terjejas akibat banjir.

“Kebanyakan penduduk di sini tidak dilengkapi dengan peralatan pembersihan yang diperlukan. Kebanyakan benda rosak semasa banjir,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk di Taman Sri Muda berkata, memang sukar baginya sekeluarga lebih-lebih lagi apabila kehilangan perabot baharu yang hanya dibeli pada hari raya.

“Sedih tengok semua wang titik peluh saya dihanyutkan begitu sahaja tetapi saya perlu beralih dan mula bersihkan secepat mungkin,” kata Shafiq, yang bekerja sebagai pemandu lori.

Beliau juga berharap ahli politik berhenti datang ke kawasan itu, kerana ia hanya akan melambatkan proses pembersihan.

“Apabila ahli politik ini masuk untuk buat ‘tinjauan’ mereka, ia sebenarnya buang banyak masa yang boleh kita guna untuk bersihkan rumah kita.”

Sementara itu, Jeremy Tan, 48, yang tinggal di Bukit Tinggi di Klang, satu lagi kawasan yang terjejas teruk, berkata jika bukan kerana sukarelawan, kerja pembersihan akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

“Saya kagum dan bersyukur kerana sukarelawan ini datang dengan peralatan pembersihan yang betul dan ada di antara mereka yang membawa makanan kepada kami.

“Ada juga sekumpulan sukarelawan yang datang pada hari yang lalu dan minta keluarga saya berehat sementara mereka buat pembersihan.

“Terharu saya mendengarnya kerana mereka faham trauma yang kami alami,” kata Jeremy, yang merupakan seorang jurujual.

Minta pelajar datang tolong

Sukarelawan Andrea Tan, 25, berkata, dia tidak perlu berfikir panjang untuk membantu mangsa.

“Jika kita tidak tolong rakyat Malaysia, tiada siapa akan tolong sebab inilah masanya kita amalkan konsep Kita Jaga Kita dengan lebih baik.

“Saya sudah di sini sejak dua hari dengan kawan-kawan saya dan setakat ini, kami sudah bersihkan tiga rumah,” kata Andrea yang membantu membersihkan rumah di Bukit Tinggi.

Muhammad Amar, 25, yang berasal dari Damansara berkata, dia dan rakan sekumpulannya membeli semua peralatan yang diperlukan pada Khamis dan terus menuju ke Sri Muda.

“Saya kini sedang dalam cuti tahunan di mana saya sebenarnya merancang untuk bercuti tetapi selepas nampak kerosakan yang berlaku, saya batalkan percutian saya.

“Wang yang saya simpan untuk bercuti telah digunakan untuk beli bekalan yang diperlukan buat penduduk di kawasan ini,” kata Muhammad yang bekerja di sebuah agensi pemasaran.

Steven Raj, 22, yang merupakan mahasiswa tahun akhir berkata, selepas menonton video kerosakan banjir di media sosial, dia mengambil keputusan untuk mengambil bahagian dan memainkan peranannya.

“Saya tidak mampu untuk beli bekalan makanan dan keperluan lain memandangkan saya masih pelajar, jadi kerja-kerja pembersihan adalah yang saya boleh buat untuk tolong mangsa-mangsa ini.

“Saya telah menumpang di rumah kawan saya di Shah Alam jadi lebih dekat untuk saya datang ke Sri Muda tolong bersihkan rumah kerana saya berasal dari Petaling Jaya,” katanya.

Beliau juga menggalakkan lebih ramai pelajar membantu mangsa memandangkan kini cuti semester bagi kebanyakan pelajar universiti di Malaysia.

Hujan lebat, yang bermula pada 17 Disember, menyebabkan banjir meluas di seluruh semenanjung, menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal dan menyebabkan 47 maut. Lima orang masih hilang.

Hulu Langat dan Sri Muda di Shah Alam merupakan kawasan yang paling teruk terjejas di Lembah Klang. – 28 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen