Bomba saran orang ramai tangguh perjalanan di sekitar Lembah Klang


JBPM meminta orang ramai merancang perjalanan ketika ini supaya tidak terperangkap dalam banjir di sekitar Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2021.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan orang ramai menangguhkan perjalanan di sekitar Lembah Klang bagi mengelak kenderaan terkandas berikutan situasi banjir ketika ini.

Ketua Pengarahnya Mohammad Hamdan Wahid, berkata ia susulan beberapa kawasan Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor masih menerima hujan yang menyebabkan paras air banjir meningkat.

“Buat masa ini tangguhkan dahulu perjalanan di kawasan khususnya di Lembah Klang memandangkan kita lihat ada beberapa kes mereka ini (pengguna jalan raya) terperangkap sampai berbelas jam dan tiada makanan serta minuman di dalam kereta.

“Kalau nak merancang perjalanan, kenal pasti dahulu lokasi yang dirasakan selamat dan tanyalah orang yang berada di kawasan persekitaran (yang ingin dituju itu),” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Teluk Gong di Klang hari ini.

Mohammad Hamdan turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika menjalankan tugas dalam keadaan banjir ketika pandemik Covid-19.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan kepada semua pengarah bomba negeri terutama negeri yang terbabit dengan banjir.

“Kita percaya banyak tempat memerlukan bantuan dan kita akan memberikan bantuan sebaik mungkin. Kita juga akan pastikan dari segi giliran kerja, kebajikan, kesihatan serta keselamatan anggota diberi perhatian.

“Saya minta untuk dibuat penggiliran dan kita bekukan cuti di kawasan negeri yang terbabit dengan banjir,” katanya sambil menambah seramai 27 anggota bomba juga sedang menjalani proses kuarantin ekoran dijangkiti Covid-19. – Bernama, 19 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen