Gangguan bekalan air di 142 kawasan di Petaling, Klang


Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal, kata Air Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.

AIR Selangor memaklumkan sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan.

Gangguan bekalan air bermula jam 3 petang hari ini, dan dijangka pulih sepenuhnya 3 pagi esok, kata Air Selangor dalam kenyataan hari ini.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” kenyataan itu dipetik.

Susulan itu, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal, katanya.

Air Selangor mengingatkan pengguna supaya mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka ketika mengambil bekalan air daripada lori tangki.

Antara kawasan yang terlibat di Petaling adalah Glenmarie, Puchong Jaya, Bandar Kinrara. Kawasan yang terjejas di Klang pula adalah Bandar Puteri, Batu Tiga dan Jalan Kota Raja.

Maklumat terkini berkenaan gangguan bekalan air katanya boleh didapati di laman web www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram.

Pertanyaan dan aduan juga boleh disalurkan di talian 15300 atau Pusat Bantuan di aplikasi Air Selangor. – 26 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen