Jualan runcit menguncup 28% pada suku ketiga


Ragananthini Vethasalam

JUALAN runcit menguncup sebanyak 27.8% pada suku ketiga 2021 berbanding suku yang sama tahun lalu berikutan kebanyakan peruncit terpaksa menutup operasi untuk separuh pertama suku ketiga 2021, menurut laporan industri.

“Keputusan suku tahunan terbaru ini adalah jauh di bawah jangkaan pasaran. Ahli MRA (Persatuan Peruncit Malaysia) dan MRCA (Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia) mengunjurkan kadar pertumbuhan suku ketiga pada -15.1% pada September 2021,” kata Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM) dalam Laporan Industri Runcit Malaysia November 2021.

“Peruncit di Malaysia beroperasi dengan langkah penjarakan sosial yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada suku yang sama tahun lalu. Sebaliknya, kebanyakan peruncit terpaksa menutup operasi dalam tempoh separuh pertama suku ketiga 2021,” tambahnya.

Subsektor seperti gedung serbaneka merangkap pasar raya, pasar mini, kedai serbaneka dan koperasi, fesyen dan aksesori fesyen, produk kanak-kanak dan bayi, farmasi, penjagaan diri, perabot, pembaikan rumah, elektrik dan elektronik dan kedai khas lain telah merekodkan penurunan dalam jualan.

Pasaran runcit terbesar di negara ini terjejas teruk apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di sebahagian besar Selangor dan lokasi terpilih di Kuala Lumpur dari 3 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021.

“Apabila kerajaan melonggarkan sekatan ke atas jumlah penumpang dalam kenderaan serta had jarak perjalanan pada 21 Ogos 2021, jualan di pusat beli-belah utama beransur pulih,” katanya.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, kadar pertumbuhan jualan runcit menguncup sebanyak 11.9%, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ahli MRA dan MRCA telah ditemu bual mengenai prestasi jualan runcit mereka bagi separuh kedua 2021 untuk laporan tersebut.

Ahli persatuan kedua-dua peruncit itu telah mengunjurkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 18.3% untuk suku keempat 2021 kerana beberapa subsektor dijangka mencatatkan pemulihan sederhana hingga kukuh manakala yang lain kurang optimistik.

Kumpulan Peruncit  Malaysia telah menurunkan kadar pertumbuhan industri untuk 2021 daripada 0.8% kepada 0.5% berikutan pertumbuhan lebih teruk daripada jangkaan yang dicatatkan pada suku ketiga serta semakan anggaran suku keempat.

“RGM menjangkakan industri runcit mendapat momentum pemulihannya menjelang akhir tahun ini. Bagi suku keempat 2021, anggaran kadar pertumbuhan telah disemak ke atas daripada 12.7% (dianggarkan pada September 2021) kepada 18.3%,” katanya.

Peruncit berharap jualan runcit akan meningkat lebih tinggi pada Disember tahun ini berikutan dua perayaan utama yang akan datang- Krismas dan Tahun Baharu Cina,” tambahnya.

Bagi tinjauan untuk 2022, RGM mengunjurkan kadar pertumbuhan 6% dalam jualan runcit untuk 2022.

“Industri runcit Malaysia menantikan pemulihan daripada pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun. Bagaimanapun, beberapa cabaran masih kekal.”

Kes positif harian yang tinggi masih membimbangkan. Kemungkinan gelombang keempat pandemik menghantui peruncit Malaysia. Peruncit tidak penting Malaysia tidak mampu lagi menutup kedai fizikal.”

“Varian covid-19 baharu yang ditemui baru-baru ini kini merebak dengan pantas ke seluruh dunia. Ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi di seluruh dunia dan juga di Malaysia,” katanya.

RGM menambah, kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan peralihan negara ke fasa endemik berikutan ketidaktentuan wabak virus dan ketibaan pelancong asing mungkin terjejas berikutan perkembangan virus semasa. Ini seterusnya akan menjejaskan perniagaan runcit yang bergantung kepada pengembara.

Tambahnya kenaikan harga barang pengguna baru-baru ini juga mungkin berterusan tahun depan dan peningkatan kos sara hidup akan menjejaskan kuasa beli isi rumah Malaysia tahun depan. – 7 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen