Sektor peruncitan berdepan cabaran sukar 2021


Bernard Saw

Sektor peruncitan perlu mengadakan promosi dan diskaun bagi melonjakkan jualan dalam suasana pandemik yang masih berlanjutan, kata persatuan peruncit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2021.

WALAUPUN musim perayaan datang silih berganti iaitu Krismas dan Tahun Baharu Cina, peruncit tidak menjangkakan lonjakan jualan kerana pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Orang ramai akan berbelanja dengan berhemah dan berkurangan untuk sekurang-kurangnya empat bulan pertama tahun ini, dengan kedatangan vaksin koronavirus membawa sedikit sinar harapan.

Pengguna sudah mula berbelanja dengan berhati-hati ketika Krismas, dan Tahun Baharu Cina juga tidak akan membawa perubahan yang banyak, kata persatuan peniaga, selepas melaporkan kemerosotan jumlah pengunjung di pusat beli-belah, hampir 70% tahun ini.

Presiden Persatuan Pusat Beli-belah Malaysia Teo Chiang Kok menjangkakan mood perbelanjaan berhemah akan berlanjutan hingga Tahun Baharu Cina, terutama dengan pengumuman perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua sehingga 26 Januari.

PKP 2.0 dilaksanakan di enam negeri - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai esok, sementara PKP bersyarat (PKPB) akan diperkenalkan di enam negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Kesan psikologi terhadap arahan lanjutan itu ditambah ketidaktentuan ekonomi masih menyuramkan keseluruhan sentimen pengguna.

“Kaji selidik ringkas kami mendapati jualan pada Disember jatuh 50% hingga 70% berbanding tempoh sama pada 2019.

“Ada beberapa berita positif dengan datangnya vaksin tidak lama lagi, tetapi melihat kepada PKPB dilanjutkan lagi, apa yang boleh kami harapkan ialah jualan bertambah baik pada Tahun Baharu Cina,” katanya.

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 12 dan 13 Februari.

Walaupun Krismas dan Tahun Baharu Cina silih berganti, peruncit tidak menjangkakan lonjakan jualan kerana pandemik Covid-19 yang masih berlarutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2021.

Teo berkata beberapa pusat beli-belah bekerjasama dengan peniaga dan dilihat proaktif untuk melonjakkan jualan menerusi promosi dan baucer beli-belah.

“Kerajaan juga membantu dalam baucer beli-belah dan kempen Belilah Barangan Malaysia.”

Timbalan Presiden Persatuan Rangkaian Jualan Malaysia (MRCA) Liew Bin berkata peruncit perlu cuba untuk menawarkan lebih banyak diskaun untuk meningkatkan pencapaian jualan.

Beliau turut mengalu-alukan kelonggaran diberikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam meluluskan lebih banyak permohonan untuk pusat beli-belah mengadakan promosi.

Liew berkata banyak peruncing menyemak semula amalan lama mereka yang bergantung kepada “aset besar” untuk pengembangan, seperti membuka kedai baharu di pusat beli-belah lain di seluruh negara.

Dalam suasana pandemik itu, pendekatan baharu perlu lebih ringan dan mudah.

“Satu kedai rantaian mahu membuka hampir 70 outlet di pelbagai pusat beli-belah seluruh negara. Aama mengejutkan bila pandemik melanda dan pusat beli-belah kosong. Kerugian jadi beratus ribu dolar sehari,” katanya.

Banyak jenama antarabangsa seperti Zara dan H&M mengumumkan penutupan premis, turut menjejaskan outlet di Malaysia. H&M dikatakan akan menutup 250 premis di seluruh dunia, sementara 1,200 outlet Zara akan ditutup.

Liew berkata jenama besar mungkin menunggu untuk muncul kembali dan membina semula pasaran mereka pada masa depan, sementara memantau kesan daripada pandemik.

Pada masa sama, apabila nama besar keluar, jenama baharu akan mula memasuki pasaran. – 13 Januari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen