Pakej bantuan RM15 bilion tidak dapat atasi masalah peruncit


Noel Achariam

Beberapa peruncit terpaksa berdepan kerugian selepas perniagaan mereka ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dikuatkuasakan kerajaan pada 13 Januari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2021.

PAKEJ bantuan ekonomi Permai bernilai RM15 bilion yang diumumkan Putrajaya minggu lalu tidak dapat menangani masalah peruncit yang kehilangan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM).

Kumpulan itu berkata pakej bantuan ekonomi tersebut tidak memberikan bantuan kewangan kepada perniagaan runcit yang terpaksa ditutup semasa PKP yang dikuatkuasakan pada 13 Januari lalu dan berlanjutan sehingga 4 Februari, atau mungkin akan menjangkaui tarikh itu.

Pengarah Urusan RGM, Tan Hai Hsin mempersoalkan mengapa tidak ada perincian berhubung penangguhan tempoh moratorium di bawah pakej kewangan tersebut.

“Ini penting kerana sebahagian besar perniagaan runcit hadapi sifar pendapatan dengan hanya beberapa penjualan bagi mereka yang mempunyai platform dalam talian selama tempoh PKP ini.

“Tetapi, potongan diskaun elektrik tidak signifikan kerana perniagaan runcit tidak banyak menggunakan elektrik dalam tempoh ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kelima berjumlah RM15 bilion selepas sebahagian besar negara memasuki minggu kedua PKP.

Muhyiddin berkata terdapat 22 inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi Permai bagi memerangi wabak Covid-19 bertujuan untuk menjaga kesejahteraan rakyat, dan memastikan kelangsungan perniagaan.

Tan juga mempersoalkan tindakan kerajaan mengkategorikan beberapa perniagaan sebagai perkhidmatan penting dan membenarkan mereka membuka perniagaan semasa PKP.

Beliau berkata perniagaan ini tidak menyaksikan jualan sepanjang PKP, dan sebenarnya mengalami kerugian apabila beroperasi seperti biasa.

“Sebilangan besar peruncit ‘penting’ ini kini berniaga tanpa pelanggan atau sedikit pelanggan pada waktu sibuk.

“Situasi ini lebih parah berbanding ketika mereka diminta untuk tutup perniagaan sewaktu PKP bulan Mac tahun lalu.

“Selagi dibuka, pembiayaan mereka akan lebih tinggi dibandingkan jika mereka tutup.”

Beliau menambah bahawa beberapa kedai yang telah diklasifikasikan sebagai penting termasuk kedai jam tangan, tukang emas, kedai barang kemas, kedai mainan, kedai hadiah, kedai kasut, kedai beg tangan, kedai barang, kedai fesyen mewah, kedai kerusi urut, kedai perabot, dan kedai yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Tan juga berkata bahawa kerajaan mesti memberi mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia mengenai perkara yang berkaitan dengan membeli-belah.

“Anda menyuruh rakyat Malaysia tinggal di rumah, sementara anda membiarkan banyak kedai tetap terbuka.

“Anda mengehadkan jumlah penumpang setiap kereta dan jarak perjalanan, tapi mahu pusat beli-belah tetap dibuka.

“Kerajaan berkata bahawa orang ramai hanya dibenarkan melakukan perjalanan untuk membeli-belah bagi keperluan asas sahaja, tetapi peruncit bukan keperluan asas dibenarkan buka perniagaan,” katanya.

Tan bagaimanapun berkata bahawa pakej rangsangan Permai akan membantu rakyat Malaysia daripada golongan B40 dan pada tahap tertentu M40, agar mereka dapat bertahan dalam tempoh yang sukar ini.

“Pakej bantuan ekonomi terbaru ini memberikan insentif wang untuk membeli barang keperluan asas dan barang keperluan harian.

“Pada masa yang sama, beberapa insentif wang dan cukai mendorong rakyat Malaysia bekerja dari rumah.” – 25 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen