Lebih 35,000 kedai ditutup sejak pandemik, kata kumpulan peruncit


Noel Achariam

Sejumlah besar kedai ditutup pada Mei tahun lalu, selepas PKP kali pertama diadakan pada Mac dan April, kata Kumpulan Peruncit Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2021.

LEBIH 35,000 kedai dalam sektor peruncitan ditutup sejak pandemik Covid-19, kata Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM).

Kumpulan itu berkata dianggarkan 70% hingga 80% daripada 51,000 kedai yang diramalkan mengalami kerugian terpaksa ditutup selamanya.

Ia menjangkakan lebih banyak kedai akan ditutup dalam jangka terdekat, sebelum sektor itu pulih secara perlahan-lahan pada 2023.

Terdapat kira-kira 340,000 kedai dalam sektor peruncitan di Malaysia.

Presiden RGM Tan Hai Hsin berkata mereka melihat sendiri sejumlah besar kedai ditutup pada Mei tahun lalu, dan sekali lagi selepas moratorium bayaran balik pinjaman bank tamat pada Oktober 2020.

“Pusingan ketiga penutupan kedai pada PKP kedua tahun ini. Kemudian berlaku gelombang baharu penutupan kedai sejak PKP 3.0 bermula,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, katanya penutupan kedai agak perlahan sejak penguatkuasaan PKP penuh dari 1 Jun tahun ini.

“Sebabnya bukan kerana semakin kurang kedai ditutup, tetapi peruncit yang hendak menutup kedai tidak dapat berbuat demikian.

“Ia disebabkan sekatan perjalanan dan kerja, mereka tidak boleh berpindah keluar. Akibat sekatan kerja semasa, ejen hartanah tidak dapat menggantung kain rentang ‘untuk dijual’ atau ‘untuk disewa’.

“Ejen tidak dapat membawa prospek pelanggan untuk melihat unit yang kosong. Jadi mereka tidak dapat menyewakannya.”

Beliau berkata ramai pemilik hartanah tidak mahu menghalau penyewa sedia ada kerana mereka tahu tidak akan dapat menyewakan premis itu secepat mungkin.

“Keadaan ini hampir sama dengan PKP kali pertama pada Mac dan April tahun lalu. Penutupan kedai hanya berlaku selepas PKP itu berakhir.”

Faktor lain, katanya ialah kerana kebanyakan outlet memang tidak begitu maju walaupun sebelum perintah sekatan pergerakan.

“Perniagaan mereka memang tidak begitu baik sebelum ini. Mereka terpaksa bergelut ketika pandemik. PKP demi PKP hanya akhirnya menyebabkan mereka tutup terus kedai.

“Situasi semasa juga membuktikan outlet makanan dan minuman (F&B) tidak boleh bergantung hanya kepada perkhidmatan bungkus bawa balik dan penghantaran untuk jangka panjang.

“Sejak PKP penuh, banyak outlet F&B mengalami kerugian teruk walaupun dibuka untuk tempahan makanan bungkus dan penghantaran,” katanya. – 12 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen