Pelanggan di pusat beli-belah bertambah tetapi jualan masih kurang, kata peruncit


Noel Achariam

Perbelanjaan belum kembali seperti pada 2019 kerana pelbagai pelaksaan PKP, kuasa beli yang rendah dan larangan rentas negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2021.

TRAFIK membeli-belah di sebahagian besar pusat membeli-belah di Malaysia kembali ke tahap sebelum Covid-19 sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua ditarik balik pada Mac tetapi perbelanjaan masih perlahan, kata Retail Group Malaysia.

Perbelanjaan belum kembali seperti pada 2019 kerana pelbagai tahap PKP, kuasa beli yang rendah dan larangan perjalanan antara negeri.

Pengarah Urusan Retail Group Malaysia, Tan Hai Hsin berkata selepas sekian lama beroperasi, rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara tidak sabar untuk kembali ke pusat membeli-belah.

“Mereka ingin pergi membeli-belah, makan, berekreasi dan melakukan aktiviti hiburan.

“Namun, disebabkan pemotongan gaji, daya beli mereka tidak setanding pada 2019,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PKP kedua bermula pada 13 Januari. Ia dilanjutkan untuk beberapa negeri terpilih sehingga 5 Mac.

Pada masa ini kawasan di bawah PKP bersyarat adalah Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak sementara negeri lain berada di bawah PKP pemulihan.

Pada 9 Februari, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata semua sektor runcit yang lain akan dibenarkan dibuka termasuk makan di restoran.

Antaranya ialah, pakaian, fotografi, barangan terpakai, taman asuhan kanak-kanak, kedai bunga, kraftangan, kedai cenderamata, kedai peralatan sukan, peralatan kediaman dan dapur, aksesori kenderaan dan lain-lain.

Tan menambah kafe dan restoran juga menerima sejumlah besar pelanggan makan sejak PKP kedua ditarik balik.

“Namun, jualan di restoran masih di bawah tahap 2019 kerana langkah penjarakan sosial.

“Kompleks sinema mendapat sambutan baik dari penonton filem sejak ia dibolehkan beroperasi. Sama seperti kedai makanan dan minuman, jualan mereka masih di bawah tahap 2019 kerana langkah penjarakan sosial.”

Beliau berkata masih ada lima sektor yang memerlukan masa lebih lama untuk pulih, iaitu kedai berkaitan hiburan.

“Ia adalah tempat rekreasi, bar dan kelab malam, kedai di lapangan terbang dan terminal bas serta yang amat bergantung kepada pelancong.

“Paling awal untuk mencapai tahap penjualan sama seperti 2019 adalah pada 2023. Ini dengan syarat kami mencapai kadar pertumbuhan yang tinggi pada 2022 dan 2023.

“Secara konvensionalnya, kemungkinan besar pada 2024, iaitu tiga tahun nanti,” kata Tan.

Pusat membeli-belah pinggir bandar lebih baik

Tan berkata pada masa ini, pusat membeli-belah di luar Lembah Klang menikmati trafik membeli-belah lebih baik berbanding di kawasan bandar seperti Bukit Bintang dan KLCC.

“Sebab utama ialah banyak pusat membeli-belah di pusat bandar Kuala Lumpur bergantung kepada pelancong iaitu sekitar 15% hingga 20% daripada jualan runcit mereka.

“Sejak PKP pertama pada Mac 2020, pelancong asing tidak dapat melakukan perjalanan ke Malaysia.”

Beliau juga berkata sejak larangan rentas negeri, rakyat tidak dapat mengunjungi pusat membeli-belah besar seperti di Kuala Lumpur yang tidak terdapat di luar bandar.

Bagaimanapun, Tan berkata mereka yang bergantung kepada pelancong asing tidak mendapat sambutan ramai seperti pada 2019.

“Ia termasuk pusat membeli-belah yang terletak di Johor Baharu dan Melaka. Banyak pusat membeli-belah ini bergantung kepada warga Singapura. Sempadan ditutup selama lebih setahun.

“Pasar Seni dan Chinatown di Kuala Lumpur juga terjejas teruk kerana kekurangan pelancong asing sejak setahun lalu.”

Beliau berkata larangan rentas negeri tidak akan memulihkan perniagaan runcit yang terletak di Genting Highlands dan Cameron Highlands kerana kekurangan pelancong domestik dari Lembah Klang.

“Perbelanjaan pelancong asing menyumbang tidak lebih 10% daripada keseluruhan pasaran runcit. Oleh itu, kekurangan pelancong asing tidak memberi kesan signifikan terhadap pasaran runcit Malaysia.”

Berhubung peratusan daripada 340,000 peruncit yang tutup kedai, Tan berkata ia masih seperti ramalan awal mereka.

“Tahun lalu, kami menjangkakan 15% daripada jumlah pembekal runcit atau sekurang-kurangnya 51,000 kedai runcit akan ditutup kerana pandemik Covid-19. Pandemik belum berakhir. Oleh itu, anggaran ini masih kekal.

“Kami menyaksikan banyak penutupan serta-merta selepas PKP. Pusingan kedua penutupan besar berlaku setelah moratorium bank berakhir pada Oktober 2020. Pusingan ketiga adalah semasa PKP kedua pada 2021.”

Beliau berkata walaupun terdapat banyak penutupan sepanjang setahun terakhir, terdapat juga pembukaan baru setiap minggu. – 15 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen