Lanjutan PKP tambah kerugian peruncit, kata kumpulan industri


Noel Achariam

Kebimbangan terbesar peruncit adalah bagaimana cara untuk mereka menjana jualan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sehingga 4 Februari. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Januari, 2021.

PERUNCIT akan sangat terkesan jika kerajaan terus melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) hingga 4 Februari, kata Kumpulan Peruncitan Malaysia (RGM).

Mereka berkata bahawa sejak pelaksanaan PKP 2.0, trend pembelian di pusat membeli-belah utama di Lembah Klang turun sebanyak 95%.

Kerajaan melaksanakan semula PKP selama dua minggu sebagai langkah untuk mengatasi wabak Covid-19 pada 13 Januari. Ia kemudian dilanjutkan hingga 4 Februari.

Pengarah Urusan RGM, Tan Hai Hsin berkata, PKP yang berlangsung ketika ini merugikan industri runcit.

“Banyak kedai runcit yang membekalkan keperluan tidak utama dibenarkan dibuka namun menyaksikan pelanggan yang sedikit pada waktu sibuk.

“Pada masa yang sama, peruncit perlu membayar sewa, gaji, utiliti dan kos barang yang dipesan. Situasi ini lebih buruk daripada perniagaan runcit semasa PKP tahun lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya lagi, PKP yang merangkumi Semenanjung Malaysia menyumbang 80% daripada keseluruhan pasaran runcit di Malaysia.

Kini terdapat sekitar 340,000 kedai runcit di Malaysia dan kebimbangan terbesar mereka adalah bagaimana cara untuk menjana jualan.

“Tanpa penjualan, anda tidak dapat membayar gaji, sewa, utiliti dan kos operasi lain.

“Mereka tidak akan dapat menghasilkan jumlah jualan yang sama seperti sebelum ini.”

Mengenai penutupan kedai runcit, Tan berkata kumpulan itu menganggarkan tahun lalu bahawa 15% daripada jumlah bekalan runcit atau sekurang-kurangnya 51,000 kedai runcit akan ditutup disebabkan pandemik Covid-19.

“Penutupan kedai memuncak pada bulan April dan Mei tahun lalu. Ia mencanak naik dari Oktober 2020 selepas moratorium bank berakhir. PKP ketika ini akan menyebabkan lebih banyak penutupan mulai bulan ini.
 
“Lanjutan PKP selama sebulan atau lebih akan merosakkan keseluruhan industri runcit.

“Tak sampai satu bulan 2021, kami telah saksikan beberapa penutupan peruncit antarabangsa dan peruncit tempatan,” jelasnya lagi. – 24 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen