Kedai runcit kini tumbuh rancak bak cendawan selepas hujan


Khoo Gek San

Kebelakangan ini banyak pasar mini kecil dan kedai runcit baharu wujud di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Klang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

PASAR mini dan kedai runcit kecil kian banyak umpama cendawan selepas hujan walaupun dalam keadaan ekonomi yang mendung kerana penangan pandemik Covid-19, kata peniaga dan persatuan.

Kata mereka, berlaku peningkatan jualan barangan keperluan asas walaupun sekatan pergerakan masih berterusan, selain peningkatan kadar pengangguran dan penutupan beberapa jenis perniagaan.

Mereka juga terkejut dengan “kebangkitan” kedai runcit tradisional ini, yang sebelum ini dianggap seperti hidup segan mati tak mahu.

Industri ini kini sedang rancak, malah lebih bagus dari sebelum-sebelum ini, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Presiden Gabungan Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, dalam beberapa bulan kebelakangan ini banyak pasar mini kecil dan kedai runcit baharu wujud di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah klang.

“Industri runcit seluruh negara dilanda fenomena ini. Banyak kedai runcit dan pasar mini tiba-tiba muncul, lebih kurang dalam 10% daripada sebelum ini,” katanya.

Persatuan itu kini mempunyai lebih 10,000 kedai runcit sebagai ahli, tambahnya.

Hong juga berkata peniaga baharu tidak mengganggu perniagaan yang sedia ada.

“Kami lebih risau yang kedai runcit dan pasar mini ini tidak mampu bertahan lama.

“Nampak macam ada cara fikir bahawa jika letak barangan di rak-rak boleh menghasilkan pendapatan tanpa sebarang risiko.

“Tapi, kami risau pemborong dan pembekal akan mengalami kerugian (sekiranya kedai baharu ini ditutup), dan selanjutnya tidak dapat mampu membuat kembali pembayaran,” tambahnya.

Banyak kedai runcit dan pasar mini kini muncul, lebih kurang dalam 10% daripada sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

Sementara itu, Pengerusi Penyedia Barangan Runcit Cawangan Klang, Tan Teck Ho berkata, terdapat peningkatan 20% kedai runcit di Klang.

Beliau juga bersetuju pertambahan kedai dan pasar mini runcit ini tidak akan menganggu gugat kedai sedia ada.

“Lokasi kami tertumpu di kawasan perumahan. Kami mempunyai kedai runcit dan pasar raya mini yang kebanyakannya dibuka di tepi jalan atau di kedai-kedai yang pada awalnya menjalankan perniagaan lain.”

Katanya, kemunculan kedai runcit baru ini mungkin disebabkan orang melihat potensi perniagaan runcit yang bagus.

Pemain besar pasar raya tempatan, KK Supermart Holdings Sdn Bhd juga tidak bimbang dengan pesaing baru.

Pengasasnya, Dr KK Chai berkata, pendatang baru tidak akan mempengaruhi perniagaan KK Mart.

“Industri keperluan asas mempunyai prospek besar, jadi kami akan terus membuka cawangan baru untuk memastikan setiap kediaman dan komuniti memiliki KK Mart,” katanya.

Kumpulan ini kini mempunyai 491 kedai KK Mart di seluruh negara dan masih berusaha untuk melebarkan sayap di lokasi baharu. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen