Landskap media sudah berubah, forum difahamkan


Raevathi Supramaniam

Pengasas bersama Malaysiakini Premesh Chandran berkata pembaca sudah bosan dan mahukan kandungan yang lebih keras berbanding berita yang menuruti apa sahaja yang kerajaan katakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.

LANDSKAP media telah berubah sejak 10 tahun ini apabila lebih ramai pembaca mahukan kandungan tajam berisi berbanding berita patuh kerajaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Malaysiakini Premesh Chandran hari ini.

Bercakap pada forum anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) bertajuk “Malaysian Press in Distress: How independent journalists keep the powers in check”, Premesh berkata memang kerajaan masih kekang portal media bebas dalam talian, namun ianya lebih baik berbanding sebelum ini yang langsung tidak benarkan.

“Hari ini kita hidup dalam dunia yang jauh berbeza. Kita ada begitu banyak maklumat. Ramai orang terbitkan kandungan seperti media bebas,” katanya pada forum dalam talian yang diadakan melalui aplikasi Zoom.

“Media akan bertanya. Kalau bukan media, blogger atau orang lain. Cara orang berfikir, cara itulah kita akan minta maklumat.”

Beliau juga berkata generasi muda dan wanita juga telah bersuara menentang perkara yang tidak betul, berkata ini sesuatu yang tidak pernah terjadi pada masa lalu.

“Perempuan sekolah bercakap tentang lawak seksis oleh guru. Kalau 20 tahun lepas, ini perkara yang mustahil. Sebenarnya kerap kali wanita, bukan lelaki, yang menuntut banyak perkara.

“Ini perubahan besar. Saya fikir, undang-undang akan ikut, tetapi pastinya seluruh budaya dan jangkaan dari sudut media telah berkembang dengan pesat.”

Premesh berkata, sebab besar mengapa terdapat peralihan dalam landskap media juga kerana orang ramai mahu baca media agresif yang tidak tunduk kepada lidah kerajaan.

Beliau berkata pembaca tidak lagi mahu media yang patuh, malah orang ramai boleh membezakannya.

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown berkata undang-undang lapuk yang mengetepikan hak asasi manusia perlu dibuang selari dengan perkembangan demokrasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2021.

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown yang juga peserta dalam forum itu berkata walaupun landskap media mungkin telah berubah, beliau berpendapat seluruh industri sangat takut terutamanya undang-undang di negara ini yang mendedahkan wartawan.

“Saya, sebagai pembaca luar, nampak kebimbangan sekarang dengan cara akhbar di Malaysia membuat liputan. Saya faham ia benar-benar bermula dengan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Di bawah PH, kita dapat kecaman setiap hari oleh media yang bebas dan yakin. Pada hari mereka (PH) ditendang keluar, Muhyiddin Yassin tutup sidang media dan mengelak begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga penapisan kendiri di pihak media dari segi liputan berita mereka yang tidak wujud semasa pemerintahan PH.

Rewcastle Brown berkata sudah tiba masanya Malaysia menghapuskan undang-undang yang diwarisi daripada sistem perundangan British yang digunakan sebagai “alat ugutan”.

“Banyak perkara yang anda warisi, kami dalam tempoh 100 tahun yang lepas sudah buang seiring dengan berkembangnya demokrasi kami.

“Kami telah buang sebab anda tahu semakin anda jadi lebih demokratik, semakin jelas yang undang-undang seperti ini tidak perlu, ketinggalan zaman dan menindas serta bercanggah dengan hak asasi manusia dan… global, anda tahu, perjanjian sekarang ini mengenai apa yang boleh diterima.

“Saya fikir ia benar-benar persoalan untuk teruskan dan hapuskan undang-undang lapuk, buang undang-undang berita palsu yang mengerikan itu daripada digunakan sebagai senjata ganas.”

Malaysia, katanya, juga belum menandatangani perjanjian global yang berkaitan dengan kebebasan bersuara.

Bercakap mengenai pengalamannya sendiri, beliau berkata satu-satunya sebab beliau telah bebas daripada cengkaman sistem perundangan Malaysia adalah kerana beliau menetap di United Kingdom.

“Saya sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia kerana menghasut, dan nampaknya untuk tuduhan berita palsu yang lain. Kalau saya duduk KL, memang bahaya.

“Dan jelas sekali, saya dilindungi dengan baik. Taktik sedemikian dianggap sebagai mencemuh, menyeramkan dan jijik oleh kerajaan di sini (UK).”

Pada September, mahkamah majistret Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle Brown kerana gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. – 2 November, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen