Vietnam penjara wartawan tempatan 'salah guna demokrasi'


Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi papan tanda pada Kongres Kebangsaan Parti Komunis Vietnam di Hanoi, ketika negara itu dikritik kerana memejarakan lima wartawan atas "salah guna hal demokrasi". – Gambar EPA, 30 Oktober, 2021.

MAHKAMAH Vietnam telah memenjarakan lima wartawan tempatan kerana “menyalahgunakan hak demokrasi”, mengundang kritikan tajam Amerika Syarikat mengenai tindakan keras kerajaan komunis terhadap kebebasan bersuara.

Kerajaan Vietnam kerap menyekat perbezaan pendapat, menangkap aktivis, wartawan dan mana-mana pengkritik dengan khalayak yang ramai di Facebook, yang digunakan secara meluas di seluruh negara.

Pengkritik berkata kerajaan telah menggunakan pendekatan yang lebih keras sejak Nguyen Phu Trong dipilih semula sebagai ketua Parti Komunis awal tahun ini.

Lima orang yang bekerja di laman berita dalam talian telah dijatuhkan hukuman pada Khamis oleh mahkamah di Can Tho, sebuah bandar di wilayah Delta Mekong di selatan Vietnam.

Truong Chau Huu Danh, pengasas laman Facebook Bao Sach, yang diterjemahkan sebagai “The Clean Newspaper” dan mempunyai catatan mengenai isu sosial dan rasuah, telah dipenjarakan selama empat setengah tahun.

Artikel oleh Danh—bekas wartawan—mempunyai “pemikiran reaksioner, mendalami kandungan yang tidak sesuai untuk kepentingan negara”, kata Agensi Berita Vietnam yang dikendalikan kerajaan, memetik dokumen mahkamah.

Empat tertuduh bersamanya dihukum penjara antara dua dan tiga tahun.

Kelima-lima mereka akan dilarang bekerja dalam bidang kewartawanan selama tiga tahun selepas tamat hukuman penjara.

Keputusan itu yang terbaharu dalam “trend merisaukan” penahanan petugas media dan mana-mana rakyat “menjalankan hak mereka untuk kebebasan bersuara dan akhbar”, kata jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price pada Jumaat.

“Kami difahamkan kumpulan wartawan ini tertumpu kepada laporan penyiasatan mengenai rasuah, yang sudah tentu bukan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Amerika Syarikat menyeru pihak berkuasa Vietnam… membebaskan lima wartawan ini dan semua yang ditahan secara tidak adil, dan membenarkan semua individu di Vietnam menyatakan pandangan mereka secara bebas dan tanpa rasa takut akan tindakan balas.”

Pada Julai, bekas wartawan radio Pham Chi Thanh—juga seorang aktivis prodemokrasi yang terkenal—dijatuhi hukuman penjara lima setengah tahun atas tuduhan antinegara kerana menyebarkan maklumat di Facebook.

Vietnam berada di kedudukan ke-175 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2021 oleh Reporters Without Borders. – AFP, 30 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen