Pejabat Perdana Menteri nafi laporan Muhyiddin langgar tempoh kuarantin


Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan Sarawak Report adalah sama sekali tidak berasas dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PEJABAT Perdana Menteri menyelar portal berita Sarawak Report yang mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melanggar tempoh kuarantin untuk mendapatkan rawatan kanser di luar negara.

Pejabat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata laporan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej perdana menteri.

Kenyataan turut melampirkan laporan perubatan dari beberapa pakar yang mengesahkan bahawa Muhyiddin sihat dan bebas daripada penyakit kanser.

“Semasa menjalani tempoh kuarantin, YAB Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah. 

“Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan YB Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan,” kenyataan itu dipetik.

Dakwaan Sarawak Report juga hanya rekaan penulis, tambah Pejabat Perdana Menteri.

“Penulis dan portal Sarawak Report perlu bertanggungjawab atas tuduhan yang dilemparkan kepada YAB Perdana Menteri dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat yang dinaiki, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa.”

Sarawak Report pada 9 Jun menerbitkan artikel bertajuk “Malaysia’s Criminal Coup Unfurls”, mendakwa melalui beberapa sumber yang dipercayai, Muhyiddin pada 26 Mei telah melanggar tempoh kuarantin.

Pejabat itu turut menjelaskan Muhyiddin menjalani kuarantin 14 hari bermula 22 Mei atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) selepas seorang pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet yang dipengerusikan oleh perdana menteri disahkan positif Covid-19.

“Laporan yang disiarkan portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej YAB Perdana Menteri.

“Amat malang apabila portal berita itu kini berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.”

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri juga menambah laporan berkenaan adalah gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelum ini.

“Mengenai tahap kesihatan YAB Perdana Menteri, seperti yang telah dilaporkan media sebelum ini, beberapa pakar perubatan telah pun mengesahkan bahawa beliau kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas.” – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen