Kemelut pekerja HSBC Malaysia, Nube setuju badan UK jadi perantara


Nube mendakwa HSBC Malaysia melanggar enam hak pekerja mereka dan membuat aduan kepada badan hak pekerja di UK. – Gambar AFP, 3 Oktober, 2021.

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) Malaysia akan menerima tawaran perantara oleh United Kingdom National Contact Point (UK NCP) bagi menyelesaikan aduan dibuat terhadap HSBC Bank Malaysia Berhada, kata Setiausaha Agungnya J Solomon hari ini.

Solomon berkata beliau mengalu-alukan keputusn UK NCP itu, yang boleh menjadi petunjuk kuat wujudnya keperluan untuk pengantaraan terhadap aduan dibuat Nube dan Uni Global Union.

“Objektif mediasi (perantara) adalah untuk pihak-pihak terbabit mencapai kata sepakat bagi mengatasi dan menyelesaikan aduan yang diterima oleh UK NCP.

“Sehubungan dengan itu, Nube telah menerima tawaran mediasi (perantara) untuk melihat resolusi demi kepentingan terbaik ahli Nube,” kata Solomon dalam kenyataan hari ini.

UK National Contact adalah sebahagian daripada Jabatan Perdagangan Antarabangsa. Ia bertanggungjawab mempromosi garis panduan tanggungjawab menjalankan perniagaan OECD untuk syarikat multinasional serta mempunyai mekanisma aduan bagi pematuhan garis panduan itu.

Dua minggu lepas, UK NCP bersetuju menerima aduan layanan tidak adil pekerja dibuat Nube dan Uni Global Union terhadap HSBC Bank Malaysia.

Pada Julai lepas, Nube membuat 93 laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia Stuart Milne atas keputusannya membuang pekerja ketika pandemik.

Dalam maklum balas, HSBC berkata ia sedang melakukan pembaharuan dalaman bank yang akan melibatkan pembentukan lebih 200 penjawatan baharu bagi memenuhi perkembangan industri perbankan.

Ini termasuklah memindahkan kakitangan sedia ada kepada jawatan dan peranan baharu.

Dalam usaha menggerakkan pembaharuan itu, HSBC berkata ia menawarkan skim pemisahan sukarela kepada beberapa kumpulan kakitangan sekiranya proses penukaran peranan dan jawatan tidak dapat dilakukan. –

Solomon berkata kesatuan sekerja itu terpaksa membawa isu itu kepada UK NCP selepas pihak berkuasa gagal mencari jalan penyelesaian terhadap isu dibangkitkan sejak beberapa tahun lepas.

“Nube dan Uni Global Union akan memberikan kerjasama lebih lanjut kepada UK NCP dan kami optimis bahawa penyelesaian positif dan konstruktif akan dibuat demi kepentingan terbaik ahli Nube dan pekerja bank di Malaysia,” kata Solomon lagi. – 3 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen