NUBE bidas Saravanan berhubung kenyataan terhadap pekerja belum vaksin 


Kementerian Sumber Manusia sepatutnya memfokuskan kepada majikan untuk berhubung dengan pekerja mengenai masalah kesihatan dan risiko serta keberkesanan vaksin.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 September, 2021.

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) membidas Menteri Sumber Manusia M Saravanan berhubung ancaman tindakan terhadap pekerja yang belum divaksin.

Setiausaha agungnya J Solomon berkata kenyataan menteri itu tidak berasas dan satu bentuk diskriminasi.

Saravanan baru-baru ini berkata pekerja yang enggan mendapatkan vaksin Covid-19 oleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (DOSH) kerana menyebabkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja.

Bagaimanapun beliau berkata memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan vaksinasi Covid-19, DOSH mahukan majikan memastikan keselamatan dan kesihatan semua orang.

“NUBE bimbang bahawa kenyataan cuai oleh menteri sumber manusia boleh menyebabkan diskriminasi yang tidak adil terhadap pekerja yang tidak divaksinasi, pemecatan pekerja yang tidak divaksin secara tidak adil dan diskriminasi oleh majikan dalam proses pengambilan pekerja,” katanya.

Kenyataan seperti itu, kata Solomon, akan menimbulkan kegelisahan dan tekanan mental yang tidak perlu di kalangan pekerja yang sudah mengalami tekanan teruk kerana Covid-19.

“NUBE berpendapat bahawa sebelum Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan untuk mempengaruhi majikan dan pekerja mengenai masalah vaksinasi Covid-19, menteri seharusnya mengadakan pertemuan yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF),” katanya.

Tambah Solomon, Saravanan sepatutnya memfokuskan kepada majikan untuk berhubung dengan pekerja mengenai masalah kesihatan dan risiko serta keberkesanan vaksin. Di samping itu, beliau juga harus menyediakan ruang untuk dialog terbuka dengan pakar perubatan dan pemimpin agama.

Kerajaan juga harus membincangkan pendekatan alternatif untuk melindungi terhadap penularan Covid-19.

Beliau berkata NUBE telah mengajukan pelbagai isu berkaitan dengan pegawai bank kepada menteri, tetapi gagal mendapat maklum balas.

Tambahnya amat malang jika Kementerian Sumber Manusia mengambil pendekatan yang bertentangan dengan komitmen Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Justeri beliau berharap agar kementerian menghormati semangat dialog sosial dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk MTUC, MEF dan Nube untuk mencapai perlindungan sosial menyeluruh bagi semua pekerja yang terlibat. – 9 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen