Tubuh dana amanah bantu golongan rentan, gesa kesatuan


Dana ini akan membantu golongan B40, M40, individu tanpa pendapatan tetap dan PKS, kata Nube. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2021.

KERAJAAN wajib menubuhkan dana amanah kebangsaan yang bebas bagi membantu pekerja rentan terkesan dengan wabak Covid-19 dan sekatan pergerakan penuh, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube).

Setiausaha agungnya, Nube J. Solomon berkata, dana ini, dengan sumbangan daripada pengaut keuntungan besar, dengan segera cepat membantu kewangan golongan terjejas yang terpaksa mengalami pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan.

Dana ini akan membantu golongan B40, M40, individu tanpa pendapatan tetap dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dana ini juga perlu bebas dari pengaruh politik.

“Dana amanah kebangsaan akan menjadi jalan pemulihan rakyat dan negara secara inklusif.

“Kami menyeru semua ahli politik untuk berhenti membuat kenyataan berbaur politik, utamakan kepentingan rakyat dan bergabung memohon Agong segera menjalankan misi ini untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau turut berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) harus menjadi penyumbang besar dana tersebut.

“Tujuh GLIC menguasai 35 daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Malaysia dan mempunyai gabungan modal pasaran sebanyak 42% daripada jumlah modal pasaran syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

“GLIC ini mengawal lebih 68,000 syarikat secara langsung dan tidak langsung dengan kepentingan minoriti.

“Mereka juga terlibat dalam banyak sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perladangan, kewangan, penjagaan kesihatan, penerbangan dan infrastruktur selain mengawal kebanyakan institusi kewangan utama,” katanya.

Tambahnya syarikat swasta besar, syarikat multinasional dan golongan yang bermurah hati dalam kategori T20 dan dermawan juga boleh menyumbang kepada dana tersebut.

“Kami yakin rakyat Malaysia akan beri sumbangan kepada dana ini. Walaupun setiap rakyat Malaysia menyumbang minimum RM1, kita akan mempunyai lebih daripada RM30 juta, sebagai permulaan.

“Selebihnya dana itu perlu digunakan untuk menambah baik hospital awam dan rawatan kesihatan bagi orang-orang selepas wabah,” katanya

Bagi penjaga dana itu, Solomon mencadangkan bekas hakim yang berwibawa tanpa fahaman politik untuk memimpin panel yang terdiri daripada agensi kerajaan berkaitan, gerakan kesatuan sekerja, perniagaan swasta, masyarakat sivil dan ahli ekonomi yang mempunyai rekod kepemimpinan berpusatkan rakyat. – 31 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen