Kesatuan salahkan Saravanan berhubung kluster tempat kerja


Ragananthini Vethasalam

KESATUAN Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) membidas Kementerian Sumber Manusia kerana didakwa gagal dalam menguruskan penularan Covid-19 di tempat kerja.

Setiausaha agung kesatuan J Solomon berkata kluster tempat kerja melibatkan pekerja asing dan tempatan merupakan penyumbang kluster Covid-19 terbesar sejak beberapa minggu lalu dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan banyak amaran sebelum ini.

“Sebaliknya kenyataan ketua pengarah kesihatan sebagai amaran kepada kerajaan, terutamanya Kementerian Sumber Manusia dan pihak berkuasa berkenaan untuk bertindak, namun keadaan semakin teruk,” kata Solomon dalam satu kenyataan hari ini.

“Disebabkan tiada tindakan daripada Kementerian Sumber Manusia, jumlah kes yang tinggi di tempat kerja telah berubah menjadi kluster Covid-19.”

Solomon berkata Menteri Sumber Manusia M. Saravanan dan pegawai atasan kementerian perlu bangkit berdepan realiti dan melakukan lebih banyak perkara untuk membendung penularan kluster Covid-19 di tempat kerja.

Tambahnya Saravanan juga harus bertanggungjawab atas peningkatan kluster tempat kerja walaupun sekatan pergerakan kerap kali dikuatkuasakan.

“Undang-undang darurat mungkin diperlukan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat tetapi mempunyai sistem penguatkuasaan yang efektif di lapangan untuk memeriksa tempat kerja masih menjadi kunci utama. Kementerian perlu memainkan peranan utama.”

Katanya orang ramai dan perniagaan berdepan dengan kesukaran kerana PKP dilaksanakan sekali lagi di beberapa negeri. 

“Kerajaan mengatakan langkah itu perlu untuk mengekang lonjakan kes-kes Covid-19 kerana sumber kementerian kesihatan telah mencapai hadnya di beberapa bandar utama.

“Apa yang menyedihkan ialah kita seakan-akan hilang arah untuk menangani pandemik ketika negara lain termasuk jiran kita berjaya berbuat demikian malah ada yang sedang dalam proses pemulihan ekonomi,” kata Solomon.

Lebih 500 kluster tempat kerja dikesan setakat ini yang mana ia terus menyumbang kepada sebahagian besar dari laporan harian kluster Covid-19 Kementerian Kesihatan. – 9 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen