Nufam gesa Saravanan berhenti takutkan pemimpin kesatuan pekerja


Nufam mengecam tindakan Menteri Sumber Manusia M Saravanan membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung Nube J Solomon atas dakwaan memfitnah dan mengelirukan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

KESATUAN Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) hari ini menggesa Menteri Sumber Manusia M Saravanan berhenti menakut-nakutkan pemimpin kesatuan pekerja bank J Solomon.

Nufam mengecam tindakan Saravanan membuat laporan polis terhadap setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (Nube) itu, atas dakwaan memfitnah dan mengelirukan masyarakat. 

Dalam kenyataannya hari ini, Nufam berkata mana-mana kesatuan di negara ini berhak untuk membangkitkan isu-isu membabitkan pekerja.

Saravanan juga sebaliknya patut menyiasat aduan yang dikemukan Solomon, bukan membuat laporan polis, katanya.

“Kami menggesa menteri berhenti menggunakan taktik dan ancaman yang tidak berperlembagaan terhadap mereka yang bersuara untuk pekerja.

“Mengapa menteri perlu marah? Adakah beliau tidak mahu menyiasat perkara sebenar atau adakah beliau menutup sebelah mata? Tindakan ini jelas mahu menyekat kesatuan yang bersuara bagi pihak pekerja,” kata Nufam.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Nube menggesa Saravanan mengambil tindakan lebih tegas terhadap majikan yang gagal mengikuti prosedur operasi standard ditetapkan (SOP) di tempat kerja bagi mengekang penularan Covid-19.

Gesaan itu susulan Kementerian Sumber Manusia memberi penangguhan kepada majikan bagi menyediakan penginapan yang mematuhi garis panduan selaras pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Nube berkata penangguhan tersebut tidak wajar dan perlu dipertimbangkan semula. – 19 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen