Pemimpin kesatuan pekerja dipanggil polis 


Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan, J Solomon dipanggil polis untuk diambil keterangan susulan laporan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

POLIS memanggil Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (Nube), J Solomon untuk diambil keterangan susulan laporan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan atas dakwaan memfitnah dan mengelirukan masyarakat. 

Solomon berkata laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan mengenai penggantungan standard minimum perumahan pekerja adalah “taktik terang-terangan untuk menakut-nakutkan kesatuan pekerja”.

Dalam kenyataannya beberapa minggu lalu, Nube membidas kementerian kerana bersikap lemah lembut dalam menguatkuasakan standard minimum perumahan pekerja. 

Ia berikutan pengumuman kementerian berhubung penangguhan Akta 446 standard perumahan pekerja ditangguhkan hingga akhir tahun ini susulan permintaan wakil sektor pembuatan yang meminta lebih banyak masa berikutan pandemik Covid-19. 

“Saya melihat laporan polis yang dibuat oleh Saravanan terhadap saya adalah taktik terang-terangan untuk menakutkan kesatuan pekerja, bagi menghalang mereka bersuara terhadap sebarang pelanggaran hak pekerja yang berlarutan demi kepentingan majikan yang tidak bertanggungjawab.”

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis terhadap pemimpin kesatuan yang bersuara untuk pekerja itu adalah tindakan pengecut.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab atas penderitaan jutaan pekerja dan yang sepattnya memfokuskan untuk membantu mereka semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ini, bukannya membuang masa menyerang pemimpin kesatuan yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka, ” katanya.

Menurutnya, kementerian sepatutnya menghubungi Nube atau mengadakan perbincangan dan mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan itu. 

“Sebagai penjawat awam, mereka sepatutnya berbuat demikian. Sebaliknya menteri memilih untuk menggunakan taktik menakut-nakutkan seperti membuat laporan polis terhadap saya, atas kapasiti saya sebagai pemimpin kesatuan kerana menyatakan pendirian untuk membantah keengganan kerajaan menguatkuasakan Akta 446. 

“Sebagai setiausaha agung Nube dan ahli majlis MTUC dan bekas setiausaha agung MTUC, saya akan terus melindungi pekerja dan menyuarakan sebarang cubaan untuk menghakis hak mereka. Saya tidak akan tunduk kepada sebarang intimidasi oleh sesiapa, terutamanya menteri sumber manusia,” katanya. 

Solomon turut menggesa agar Putrajaya lebih positif terhadap kenyataan kesatuan dan menerima sebarang pandangan dan cadangan daripada membantah dan menyerahkan kepada pihak polis yang menggalas tugas besar untuk melaksanakan PKP. 

Beliau berkata keadaan tempat tingga pekerja yang sesak dan tidak bersih dengan pengudaraan yang sempurna menjadi tempat tinggal pekerja asingm berpotensi untuk mencetuskan wabak penyakit, bukan sahaja Covid-19. 

Katanya sekiranya kluster sedemikian berlaku ia bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat Malaysia malah juga kepada tempat kerja dan masyarakat umum yang kini berdepan gelombang ketiga pandemik.

“Nube sekali lagi menggesa menteri untuk mengeluarkan kenyataan yang jelas dan tegas bahawa kementeriannya akan menggunakan seluruh jabatannya untuk menguatkuasakan Akta 446.

“Kami juga meminta pejabatnya memberikan statistik berkala mengenai pemeriksaan penguatkuasaan, termasuk berapa banyak majikan yang telah direkodkan kerana melanggar Akta 446,” katanya.

Solomon berkata ketelusan penuh dalam perkara ini akan mengembalikan hubungan baik antara menteri dan pekerja dan pemimpin kesatuan mereka.– 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen