PUTRAJAYA perlu mengambil langkah untuk membela pekerja bank yang bakal terjejas dengan penutupan cawangan dan khidmat perbankan runcit, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).
Setiausaha agungnya J Solomon berkata ketika Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan bersungguh-sungguh meneruskan agenda digitalisasi dan perbankan digital, masih belum ada cadangan yang jelas mengenai bagaimana bank harus melindungi keselamatan pekerjaan pekerja yang terjejas.
“Tidak ada perbincangan mengenai kesan yang disebabkan oleh penutupan cawangan terhadap sumber pencarian pekerja dan komuniti mereka.
“Langkah kerajaan melancarkan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital pada 19 Februari 2021, adalah satu lagi contoh kegagalan kerajaan untuk melibatkan atau berunding dengan pekerja mengenai undang-undang dan polisi penting yang membawa kesan mendalam terhadap kehidupan dan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat berhubung laporan bahawa hampir 600 cawangan bank dijangka tutup dalam tempoh 10 tahun hasil kajian firma perunding terkemuka, Ronald Berger.
Solomon mengatakan satu-satunya tujuan perbankan sekarang adalah untuk memaksimumkan keuntungan bagi memberi manfaat kepada pemegang saham dan eksekutif kanan, sambil menambah bahawa ini disokong oleh BNM.
Beliau juga mendakwa bank mengurangkan kakitangan dengan cara yang tidak beretika seperti menggunakan tenaga kerja luar dan pengasingan serta aktiviti anti kesatuan.
Beliau berkata kesatuan itu juga akan terus menghubungi BNM dan kerajaan untuk memastikan bahawa pekerja dan anggota kesatuan dilindungi, sambil terus mendidik masyarakat mengenai apa yang berlaku dalam sektor perbankan.– 6 Mei, 2021.
Komen